24/06/2026 09:53 PM

Calon Malaysia Dipilih Sebagai Anggota Jawatankuasa Hak Kanak-kanak PBB Penggal 2027-2031

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Calon Malaysia, Datuk Yasmeen Muhamad Shariff telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2027-2031 dalam pemilihan yang diadakan di Ibu Pejabat PBB di New York pada Selasa.

Kementerian Luar memaklumkan Yasmeen memperoleh 136 undi daripada 189 negara pihak yang hadir dan mengundi dalam pemilihan yang diadakan sempena Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, sekali gus meraih jumlah undi tertinggi. 

“Pemilihan ini merupakan kali kedua beliau dipilih menganggotai jawatankuasa itu, setelah berkhidmat sebagai anggota bagi penggal 2013-2017.  

“Pemilihan ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kepakaran serta dedikasi beliau dalam memajukan hak dan kesejahteraan kanak-kanak,” menurut kenyataan kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra pada Rabu.

Sebagai anggota jawatankuasa itu, Yasmeen akan berkhidmat atas kapasiti peribadi sebagai pakar bebas.

Beliau akan menyumbang kepada mandat jawatankuasa dalam memantau pelaksanaan konvensyen, melibatkan diri dalam dialog konstruktif dengan negara-negara pihak, serta mempromosikan pendekatan berasaskan hak dalam menangani isu-isu yang menjejaskan kanak-kanak di peringkat global.

“Malaysia mengalu-alukan sumbangan berharga Yasmeen kepada kerja-kerja jawatankuasa itu serta kepada usaha antarabangsa yang lebih luas bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata pemilihan itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan Malaysia dalam memajukan hak kanak-kanak melalui dasar yang inklusif, reformasi perundangan serta pelbagai program yang bertujuan memastikan setiap kanak-kanak diberikan peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya. 

Malaysia kekal komited dalam mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak selaras dengan prinsip dan peruntukan konvensyen berkenaan, serta akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan dalam menangani cabaran semasa yang memberi kesan kepada kanak-kanak.

Dalam landskap global yang semakin kompleks pada masa kini, peranan jawatankuasa itu kekal penting dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan semua kanak-kanak.

Sementara itu, Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas kerjasama erat serta usaha berterusan dalam menyokong pencalonan Malaysia yang telah menyumbang kepada kejayaan pemilihan berkenaan.

-- BERNAMA