24/06/2026 11:20 PM

Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Ketika demam Piala Dunia FIFA 2026 melanda seluruh Malaysia, keterujaan terhadap kejohanan bola sepak terbesar dunia itu bukan hanya dirasai oleh peminat sukan berkenaan semata-mata.

Semangat itu begitu terserlah di Stadium Merdeka di sini, apabila diplomat dari negara tuan rumah bersama kejohanan itu, iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS) menentang kelab bola sepak bagi Ahli Parlimen, Members of Parliament Football Club (MPFC), dalam perlawanan persahabatan, malam ini.

Duta Besar Mexico ke Malaysia Luis Javier Campuzano Pina berkata perlawanan itu bukan sahaja mencerminkan semangat sebenar bola sepak, tetapi juga mempromosikan persahabatan dan diplomasi sukan.

“Pada pandangan saya, acara ini ialah bukti apa yang boleh bola sepak lakukan, menyatukan pelbagai negara, ahli politik, sahabat dan semua orang.

“Inilah semangat bola sepak, dan kami berterima kasih kerana Ahli Parlimen begitu berbesar hati menyediakan ruang ini untuk pasukan Kanada, Mexico dan AS mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka di lokasi yang amat bersejarah dan bermakna buat rakyat Malaysia, tempat negara ini dilahirkan, tempat yang hebat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Kuasa Usaha di Kedutaan AS di Malaysia David H. Gamble Jr menyifatkan bola sepak sebagai alat diplomasi berkuasa yang mampu menghubungkan masyarakat daripada latar belakang berbeza.

Beliau berkata sukan itu menjadi bahasa sejagat yang mengatasi perbezaan dan mewujudkan persahabatan yang berkekalan.

“Diplomasi sukan memang hebat dan bagi Kedutaan AS, kami amat menyokong diplomasi sukan kerana kami dapat menjelajah ke seluruh Malaysia.

“Tidak kira bahasa apa yang anda gunakan atau di mana anda tinggal, anda boleh turun ke padang dan menikmati perlawanan ini,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson turut sependapat sambil menyifatkan perlawanan malam kini sebagai peluang untuk meraikan bola sepak dan juga hubungan kukuh antara Kanada dengan Malaysia.

Sementara itu, Kapten MPFC Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Subang berkata pasukan bola sepak mereka sendiri menjadi contoh bahawa sukan dapat menyatukan semua orang walaupun berbeza fahaman politik, di samping dapat membina hubungan di luar Parlimen.

Antara Ahli Parlimen yang beraksi dalam perlawanan persahabatan itu ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap wakil rakyat Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah, Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Kamal Ashaari (Kuala Krau).

Ketika berita ini ditulis, MPFC mendahului dengan jaringan 3-2. 

-- BERNAMA