Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Tourism Malaysia dan pengendali perkhidmatan bas pelancongan KL Hop-On Hop-Off, Elang Wah Sdn Bhd hari ini melancarkan kempen pelancongan domestik menerusi penggunaan bas persiaran ikonik bagi menggalakkan pelancongan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pelancongan domestik kekal sebagai tunjang utama industri pelancongan negara yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan komuniti.
“Inisiatif seperti menjalin kolaborasi dengan KL Hop-On Hop-Off ini bukan sahaja menggalakkan rakyat Malaysia untuk meneroka semula tarikan dan keunikan yang terdapat di bandar-bandar kita sendiri, tetapi juga memperkukuh penglibatan industri serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditampilkan sempena TMM2026," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini hari ini.
Menerusi inisiatif itu, enam bas KL Hop-On Hop-Off akan dihiasi dengan pelekat khas yang memaparkan destinasi pelancongan utama di kesemua negeri dan Wilayah Persekutuan, termasuk Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan dan puncak Mulu di Sarawak.
Bas berkenaan turut dilengkapi kod respons pantas (QR) interaktif yang membolehkan penumpang dan orang ramai mengakses tawaran pelancongan TM2026, Kalendar Acara Rasmi serta laman web promosi pelancongan negeri-negeri.
Pelaksanaan kempen terbabit adalah susulan prestasi kukuh sektor pelancongan domestik yang merekodkan peningkatan sebanyak 21.3 peratus pada 2025, dengan jumlah pelawat meningkat kepada 290.1 juta berbanding 260.1 juta pada 2024.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik turut meningkat 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion tahun lepas berbanding RM106.7 bilion pada 2024.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka