PNG Gantung Import Ayam Itik Dari Australia Susulan Pengesanan Strain Maut Selesema Burung
MELBOURNE, 24 Jun (Bernama-Xinhua) -- Papua New Guinea (PNG) menggantung import ayam itik dan telur dari Australia selepas dua kes strain maut selesema burung H5N1 dikesan di Australia Barat (WA), lapor Xinhua.
Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF) dalam satu notis pada Selasa memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Pertanian dan Pemeriksaan Kuarantin Kebangsaan PNG melaksanakan penggantungan import terhadap semua daging ayam itik dan produk berasaskan ayam itik, termasuk telur, berkuat kuasa mulai Isnin.
DAFF menyatakan bahawa Australia masih bebas daripada influenza burung berpatogen tinggi H5N1 dalam industri ternakan ayam, selaras dengan piawaian antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia Julie Collins berkata kepada Perbadanan Penyiaran Australia pada Rabu bahawa Kerajaan Persekutuan sedang berhubung secara langsung dengan PNG bagi menarik balik sekatan perdagangan itu.
"Kami terus memantau dengan teliti pengesanan selesema burung H5 dalam hidupan liar dan sedang giat berusaha untuk memberikan jaminan yang diperlukan kepada rakan dagang secara lebih meluas," katanya.
Ingham's, pengeluar ayam itik terbesar Australia, pada Isnin mengumumkan bahawa syarikat itu akan melaksanakan sekatan penuh terhadap keseluruhan operasinya di Australia Barat bagi mengurangkan potensi risiko yang ditimbulkan oleh influenza burung.
Nilai eksport ayam Australia mencatat rekod tertinggi sebanyak A$133 juta (kira-kira US$91.9 juta) pada tahun kewangan 2023-24, termasuk eksport bernilai A$60 juta ke PNG.
--BERNAMA-XINHUA
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka