24/06/2026 10:03 PM

SPRM Tersenarai Finalis Empat Kategori ICA Compliance Awards APAC 2026

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila tersenarai sebagai finalis dalam empat kategori utama bagi ICA Compliance Awards APAC 2026 anjuran International Compliance Association (ICA).

SPRM yang menyertai anugerah itu untuk kali pertama disenaraikan sebagai finalis bagi kategori Compliance Leader of the Year menerusi pencalonan Ketua Cawangan C, Bahagian Siasatan SPRM Mohd Shukri Mohd Said dan kategori Rising Star Award yang diwakili Mohammad Nazree Mansor.

Selain itu, SPRM turut dipilih sebagai finalis bagi dua kategori organisasi iaitu Compliance Team of the Year dan Small Compliance Team of the Year (Less Than Seven Team Members).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata pencalonan itu satu pengiktirafan membanggakan yang mencerminkan komitmen berterusan warga SPRM dalam memperkukuh integriti, pematuhan, tadbir urus dan pencegahan rasuah.

“Saya berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan SPRM untuk mencapai kecemerlangan pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Shukri menyifatkan pencalonan tersebut sebagai penghormatan besar kepada SPRM dan bukti komitmen berterusan warga suruhanjaya dalam memperkasakan integriti, pematuhan serta tadbir urus yang baik.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama SPRM di persada antarabangsa, malah menjadi bukti kepada dedikasi dan profesionalisme seluruh warga kerja dalam mendukung agenda antirasuah negara,” katanya. 

Bagi Mohammad Nazree, pencalonan dalam kategori Rising Star Award menjadi pemangkin untuk dirinya terus meningkatkan kompetensi profesional dan menyumbang dengan lebih signifikan dalam usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam. 

Penerima ICA Compliance Awards APAC 2026 akan diumumkan pada majlis secara dalam talian pada 21 Julai.

ICA Compliance Awards APAC ialah program pengiktirafan profesional yang menghargai pencapaian cemerlang, inovasi, kerjasama dan amalan terbaik dalam bidang pematuhan, integriti, tadbir urus serta pencegahan jenayah kewangan di rantau Asia Pasifik.

Sejak ditubuhkan pada 2001, ICA membantu meningkatkan tahap profesionalisme lebih 160,000 pengamal di seluruh dunia menerusi pelbagai program latihan dan kelayakan profesional yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA