24/06/2026 04:53 PM

Polis Selangor Rampas 653.6 Kg Bunga Ganja Di KLIA Sejak Januari

SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Polis merampas 653.6 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menahan 38 individu berkaitan kes penyeludupan barang larangan itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata rampasan itu hasil penguatkuasaan polis dan pihak keselamatan di KLIA menerusi pengimbasan.

“Kebanyakan bunga ganja itu didapati dibawa masuk dari negara sekitar ASEAN dan terdapat permintaan tinggi untuk dadah berkenaan dihantar ke luar negara khususnya Eropah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.  

Beliau berkata nilai rampasan bunga ganja sukar ditentukan kerana ia berubah-ubah bagi setiap kali transit dan berbeza antara sindiket terlibat.

Daripada 38 individu ditahan itu, katanya sebanyak 28 telah dituduh di mahkamah. 

Shazeli berkata terbaharu, pada 17 hingga 22 Jun lepas, pihaknya merampas 171.6 kg bunga ganja bernilai RM13.73 juta di Terminal 1 KLIA, sebuah hotel di Bandar Enstek, Negeri Sembilan serta rumah di Banting, Kuala Langat.

Beliau berkata polis turut menahan empat individu termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai keldai dadah dan menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta beberapa mata wang asing.

"Siasatan mendapati lelaki tempatan itu menerima upah antara RM400 hingga RM500 manakala tiga lelaki warga asing mengikut tukaran mata wang asing negara asal mereka,” katanya. 

Keempat-empat suspek, katanya direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

-- BERNAMA