Ops Lusuh: MCMC, Polis Tumpas Sindiket Curi Peralatan Telekomunikasi Di Sarawak
KUCHING, 24 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Sarawak menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi disyaki dicuri menerusi Operasi Bersepadu Ops Lusuh dari 18 hingga 19 Jun di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan dalam operasi itu sebuah premis di Kota Samarahan dipercayai menjadi gudang penyimpanan telah diserbu.
“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi termasuk bateri stesen pemancar dan Remote Radio Unit (RRU) dipercayai milik syarikat telekomunikasi yang disyaki diperoleh secara tidak sah.
“Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan manakala semua peralatan disita sebagai bahan bukti,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan kecurian dan vandalisme terhadap aset telekomunikasi bukan sahaja satu kesalahan jenayah malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna serta perkhidmatan penting.
Mana-mana pihak didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Operasi ini mencerminkan kerjasama erat antara MCMC, polis, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan infrastruktur telekomunikasi negara.
“Kerjasama strategik ini akan terus diperkukuh bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan.
“Orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pemecatan Tidak Adil: Mahkamah Persekutuan Kekalkan Pampasan Dua Bekas Pengarah Syarikat
- USM, UKM Tersenarai Dalam Kelompok Tujuh Universiti Terbaik Dunia
- Calon Malaysia Dipilih Sebagai Anggota Jawatankuasa Hak Kanak-kanak PBB Penggal 2027-2031
- Niaga Hadapan MSM Terus Merosot Susulan Kejatuhan Harga Minyak Mentah
- PNG Gantung Import Ayam Itik Dari Australia Susulan Pengesanan Strain Maut Selesema Burung