24/06/2026 08:40 PM

Malaysia Alu-Alukan Penyertaan Perniagaan AS Di JS-SEZ -JETCO

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia komited untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) terutamanya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Budaya Johor (JETCO) di Singapura Datuk Seri Hasni Mohammad berkata JS-SEZ menyatukan kekuatan perindustrian Malaysia, struktur kos yang kompetitif dan infrastruktur digital yang berkembang.

Zon ekonomi khas itu turut memanfaatkan tenaga kerja negara yang berkemahiran tinggi dan menguasai pelbagai bahasa bersama-sama ekosistem kewangan Singapura dan rangkaian perhubungan globalnya.

Hasni turut menegaskan bahawa inisiatif JS-SEZ mencerminkan peralihan ASEAN yang lebih luas untuk menjadi rantau strategik dalam pengeluaran, penggunaan dan inovasi.

“Kami percaya bahawa kepusatan ASEAN dan keyakinan ini akan memberikan kita neutraliti strategik selain kerjasama ekonomi.

“Kami mengalu-alukan perkongsian teknologi, ekosistem inovasi dan kami percaya ini merupakan potensi besar yang belum diterokai antara Malaysia, ASEAN dan AS,” katanya pada majlis makan tengah hari dengan Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmChamSG) pada Rabu.

Seramai 24 ahli AmChamSG telah diberi taklimat mengenai prospek ekonomi Johor, perkembangan terkini di bawah JS-SEZ dan peluang pelaburan dalam sektor pertumbuhan utama pada majlis itu. 

Hasni berkata komitmen Johor dan Malaysia terhadap persekitaran yang terbuka dan mesra pelabur akan kekal utuh walaupun semasa pilihan raya negeri sedang diadakan dan pilihan raya umum yang akan datang.

“Status asas kita sebagai negara yang mempunyai hubungan dengan banyak negara luar dan mesra pelaburan tidak akan berubah walau apa pun keputusan pilihan raya.

“Jika ada, politik yang kompetitif mendorong penggubal dasar ke arah penyampaian ekonomi yang lebih kukuh,” katanya.

-- BERNAMA