24/06/2026 08:35 PM

Tourism Malaysia, Star Media Lancar Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026

PETALING JAYA, 24 Jun (Bernama) -- Tourism Malaysia dengan kerjasama Star Media Group Berhad (SMG) hari ini melancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026, sebuah inisiatif pelancongan domestik bagi merangsang aktiviti perjalanan dalam negara, menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata sektor pelancongan negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan merekodkan 17.5 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sekali gus meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk meneroka pelbagai pengalaman yang ada di sini, sama ada melalui percutian keluarga, percutian hujung minggu, eksplorasi budaya atau perjalanan pulang ke kampung,” katanya pada majlis pelancaran karnival itu di sini, hari ini.

Beliau berkata pada 2025, jumlah pelancong domestik meningkat 11.5 peratus, manakala pelancongan domestik berkembang 13.6 peratus berbanding 2024, sekali gus membuktikan peranan penting sektor itu dalam menyokong ekonomi setempat dan perniagaan pelancongan tempatan.

“Setiap perjalanan mewujudkan peluang kepada pengendali inap desa, pemandu pelancong, penyedia pengangkutan, pemandu e-hailing, vendor makanan, usahawan kraf tangan dan banyak perniagaan kecil yang menjadi tulang belakang sektor pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Chan Seng Fatt berkata makanan dan pelancongan ialah dua perkara yang sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia dan sering menjadi topik perbualan.

“Sebagai sebuah syarikat media Malaysia, kami berbangga menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026. Melalui platform media, kami berharap dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong untuk meneroka pelbagai pengalaman yang menjadikan Malaysia destinasi istimewa,” katanya.

Chan berkata pengunjung boleh menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan tarian tradisional, demonstrasi kebudayaan dan warisan yang turut melibatkan penyertaan komuniti setempat bagi mempromosikan budaya serta tradisi tempatan.

Karnival bertemakan “Discover, Experience, Explore” itu akan menjelajah ke enam negeri, iaitu Pahang, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak, serta menyasarkan lebih 200,000 pengunjung dari seluruh negara.

Beliau berkata karnival berkenaan berfungsi sebagai hab pelancongan yang memudahkan orang ramai merancang percutian dan membuat pembelian pakej pelancongan dengan menghimpunkan organisasi pelancongan negeri, hotel, pusat peranginan, pengusaha produk tarikan, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan di bawah satu bumbung.

Bagi menyokong inisiatif “Destinasi Indah, Harga Rahmah” oleh Tourism Malaysia, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran perjalanan menarik, promosi eksklusif serta pakej percutian berbaloi.

Siri jelajah di enam negeri itu akan membuka tirainya di Kuantan, Pahang dari 3 hingga 5 Julai, diikuti Johor dari 31 Julai hingga 2 Ogos, Sabah (14-16 Ogos), Pulau Pinang (24-27 September), Selangor (23-25 Oktober) dan berakhir di Sarawak dari 30 Oktober hingga 1 November.

-- BERNAMA