24/06/2026 02:05 PM

Kod CPC Mekanisme Sahkan Umur Yang Praktikal, Selamat Bagi Media Sosial - Fahmi

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) menetapkan mekanisme pengesahan umur yang selamat, praktikal dan bertanggungjawab bagi memastikan hanya pengguna yang layak dibenarkan mengakses platform media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata CPC bersama Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 Mei lepas, dan mula berkuat kuasa pada 1 Jun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].

Beliau berkata kedua-dua kod itu bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.

"Di bawah CPC, pemberi perkhidmatan berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur, dan bukannya pengesahan identiti bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum yang ditetapkan.

"Pengguna yang telah mencapai umur 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial sehingga mencapai umur yang ditetapkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai tujuan pelaksanaan pengesahan umur bagi akaun media sosial, serta langkah memastikan akses kepada data peribadi dihadkan dan dipadam selepas digunakan.

Fahmi berkata pelaksanaan mekanisme itu hendaklah dibuat dengan selamat, praktikal dan menghormati privasi pengguna, selaras dengan keperluan yang ditetapkan di bawah CPC.

Pemberi perkhidmatan media sosial juga dikehendaki memastikan proses itu mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi, termasuk prinsip peminimuman data, dan pengehadan tujuan dengan mengehadkan pengumpulan data kepada maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan umur serta melupuskannya setelah selesai.

Beliau berkata mekanisme pengesahan umur perlu dilaksanakan berasaskan dokumen rasmi yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf kerajaan.

“Bagi memastikan mekanisme pengesahan umur tidak dimanipulasi, pengesahan umur mesti disokong oleh rekod rasmi kerajaan dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri.

“CPC turut membenarkan penggunaan dokumen lain yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, termasuk rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten pada bidang kuasa lain supaya akses kepada perlindungan dalam talian dapat diberikan secara saksama kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi mereka,” katanya.

Fahmi berkata pelaksanaan pengesahan umur itu bukan menghalang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial secara kekal, sebaliknya menangguhkan pemilikan akaun sehingga mereka mencapai umur 16 tahun, dan mempunyai tahap kematangan lebih sesuai untuk menggunakan platform itu secara selamat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pendekatan yang dikenali sebagai inisiatif “Tunggu 16” itu diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada risiko serta kemudaratan dalam talian.

-- BERNAMA