24/06/2026 06:58 PM

APMM Tahan 20 Lelaki, Rampas RM24.2 Juta Rokok Seludup Di Perairan Pulau Sipadan

TAWAU, 24 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 20 lelaki serta merampas 3,014 kotak berisi rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM24.2 juta selepas cukai, di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, semalam.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid@Razali berkata lelaki berumur antara 26 hingga 62 tahun berasal dari Indonesia, Filipina, Myanmar, India dan warga tempatan itu ditahan menerusi operasi rondaan Ops Sejahtera dan Tiris.

"Kita menerima maklumat daripada bahagian perisikan mengenai kegiatan penyeludupan rokok di perairan ini, melalui operasi yang dijalankan beberapa bulan ini, kita berjaya mengesan sebuah kapal kargo berdaftar di negara ini yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira 7 batu nautika selatan Pulau Sipadan, semalam.

"Berlaku aktiviti pemindahan beberapa buah kotak bewarna coklat dari kapal kargo ke sebuah bot kumpit tidak berdaftar, pemeriksaan di kapal kargo pula menemukan rokok Bosqu (2,956 peti rokok), New Aris (40 peti rokok), Berlin (15 peti rokok) dan New Far (tiga peti rokok)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua peti rokok itu ditutup menggunakan kanvas ketika ditemukan dan setiap peti rokok terbabit berisi 50 karton, selain terdapat pelbagai peralatan navigasi dan komunikasi termasuk sistem GPS, radar, radio komunikasi, telefon serta dokumen berkaitan kapal turut disita.

Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal kargo bernilai RM65.7 juta dan kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967,  Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata siasatan awal mendapati bekalan rokok tersebut dibawa dari Vietnam dan dipercayai untuk pasaran tiga negara, iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia.

"Hasil risikan kita terima, kita dapati banyak rokok baharu tidak bercukai ada di pasaran, tetapi kita tidak tahu datang dari mana, susulan itu kita menjalankan risikan dan mendapati barangan itu dari laut.

"Rokok-rokok ini datang dari negara Vietnam dan dibawa oleh kapal kargo, kemudian menggunakan transporter dan dipasarkan untuk tiga negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata APMM memandang serius berkaitan pelanggaran undang-undang di kawasan perairan negara dan penguatkuasaan terus diperkasakan bagi membanteras kegiatan jenayah, khususnya di kawasan maritim timur negeri itu.

"Tangkapan rokok ini adalah yang terbesar dalam sejarah penubuhan APMM," katanya.

-- BERNAMA