25/06/2026 02:06 PM

Pembangunan Ekonomi Altitud Rendah Dijangka Rangsang Industri Aeroangkasa Tempatan - Sim

SERDANG, 25 Jun (Bernama) -- Pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (Low Altitude Economy, LAE) dijangka memberi limpahan besar kepada rantaian bekalan industri aeroangkasa tempatan, khususnya dalam kalangan syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pengeluar komponen kritikal yang akan mendapat manfaat daripada pengukuhan jaringan pembekal tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, berkata selain membuka akses pasaran baharu yang lebih pantas, kemasukan pemain industri global dalam ruang ini turut membawa pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan jurutera tempatan serta pembangunan kepakaran dalam reka bentuk dan proses penyelenggaraan.

“Justeru, ini merupakan ruang yang ingin diceburi Malaysia, iaitu Ekonomi Altitud Rendah (LAE). MITI juga akan melibatkan agensi-agensi berkaitan serta industri tempatan untuk turut serta kerana ini merupakan bidang baharu yang masih belum diterokai secara meluas.

“Malaysia berpeluang memanfaatkan kelebihan sebagai antara negara terawal yang menerokai bidang ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Malaysia Aerospace Summit 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO) akan mewakili Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama agensi berkaitan dalam penggubalan dasar, selain menggalakkan lebih banyak penyertaan pemain industri dalam ekosistem ekonomi altitud rendah.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata garis panduan LAE dijangka diumumkan pada hujung tahun ini, sekali gus menjadi kerangka pengawalseliaan, operasi dan tadbir urus bagi memastikan integrasi ruang udara yang selamat dalam sektor berkenaan.

Beliau berkata garis panduan itu sedang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan dijangka diumumkan sempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026.

Menurutnya, LAE merupakan peluang ekonomi signifikan kepada Malaysia, khususnya dalam pembangunan mobiliti udara maju (Advanced Air Mobility, AAM) dan teknologi dron, yang berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar oleh kerajaan serta industri di seluruh dunia.

-- BERNAMA