McDonald’s Perluas Program Santun Pelajar Ke 75 IPT
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- McDonald’s Malaysia memperluas Program Santun Pelajar ke 75 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dengan sasaran mengagihkan satu juta baucar Nasi Mekdi menjelang akhir tahun bagi membantu pelajar berdepan cabaran kos sara hidup.
Menerusi kenyataan hari ini, McDonald’s Malaysia memaklumkan program berkenaan yang sebelum ini melibatkan 20 IPT kini diperluas menerusi kerjasama lebih rapat dengan pihak universiti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata program itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus menyokong pelajar IPT dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Kami percaya akses kepada keperluan asas seperti makanan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat kekal fokus dalam pengajian dan mencapai potensi mereka,” katanya menerusi kenyataan sama.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa kedua program itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih sebagai antara lokasi awal bagi penyerahan simbolik baucar Nasi Mekdi di peringkat IPT.
Lebih 13,000 baucar diperuntukkan kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan dengan pengagihannya dilaksanakan bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM.
Ahli Lembaga Pengarah UTHM Dr Abdul Rahman Bahasa berkata pihak universiti menghargai keprihatinan McDonald’s Malaysia dalam membantu menjaga kebajikan mahasiswa.
“Melalui program yang dianjurkan dan disantuni oleh PHEP UTHM ini, kami dapat memastikan aspek keselamatan makanan dan kesejahteraan harian pelajar sentiasa diberi keutamaan, iaitu amat penting dalam menyokong prestasi akademik serta emosi positif mereka di kampus,” katanya.
Bermula 20 April hingga 31 Dis ini, setiap IPT yang terlibat diperuntukkan baucar Nasi Mekdi untuk diagihkan kepada pelajar yang dikenal pasti melalui PHEP masing-masing.
Program Santun Pelajar sebelum ini menyaksikan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini.
Pada masa sama, program berkenaan turut melengkapi usaha pembangunan belia sedia ada McDonald's Malaysia menerusi Akademi Vokasional McDonald's Malaysia dan peluang latihan industri yang membuka laluan kepada pembangunan kemahiran, kebolehpasaran serta kerjaya golongan muda.
Menurut kenyataan itu, program Santun Pelajar akan terus diperluas secara berperingkat bagi membina ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, merangkumi keperluan asas sehingga aspek kebolehpasaran dan pembangunan masa depan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka