Polis Tahan Tujuh Individu Bantu Siasatan Kes Pergaduhan Di Bemban
JASIN, 24 Jun (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang menyebabkan dua individu cedera dalam kejadian berhampiran sebuah perhentian bas di Jalan Gapam, Bemban, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Melaka antara 3 petang hingga 6.50 petang semalam.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan termasuk lima telefon bimbit, pakaian, kasut, selipar serta sebatang kayu berwarna coklat.
“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Lee berkata dua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kejadian itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Semalam, Lee dilaporkan berkata dua lelaki cedera parah selepas dipercayai dipukul dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran perhentian bas di Jalan Gapam.
Beliau dipetik sebagai berkata berkata dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah malam itu, mangsa seorang penganggur berusia 21 tahun mengalami kecederaan serius pada kepala, manakala seorang lagi mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami pendarahan dalam otak selain patah tangan dan kaki kiri.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Ringgit Susut Sedikit Tahun Ini Didorong Jangkaan Kadar Faedah AS Kekal Tinggi - Liew
- Kajian MyCC Dapati Tiada Perlakuan Antipersaingan Dalam Pasaran Perumahan - Fuziah
- Piala Dunia FIFA 2026: Croatia Catat Kemenangan Pertama, Tewaskan Panama 1-0
- Garis Panduan LAE Diumum Hujung Tahun Ini, Perkasa Kawal Selia Dan Tadbir Urus Industri - Loke
- JCM Perkenal Penyertaan Antarabangsa, Perkukuh Pembangunan Bakat Berbasikal Negara