24/06/2026 11:38 AM

Piala Dunia FIFA 2026: Croatia Catat Kemenangan Pertama, Tewaskan Panama 1-0

WASHINGTON, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- Croatia meraih kemenangan pertama mereka dalam Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Panama 1-0 pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam perlawanan sengit antara dua pasukan yang memburu mata pertama dalam Kumpulan L itu, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan apabila babak pertama berakhir tanpa jaringan di Toronto.

Croatia akhirnya menemui gol kemenangan pada minit ke-54 menerusi Ante Budimir yang menyempurnakan hantaran lintang Josip Stanisic dari jarak dekat.

Keputusan itu menandakan kebangkitan penting buat Croatia selepas tewas 4-2 kepada England dalam perlawanan pembukaan mereka, manakala Panama mengalami kekalahan tipis kedua berturut-turut selepas tunduk 1-0 kepada Ghana.

Kekalahan itu menyaksikan Panama tersingkir daripada saingan pusingan kalah mati, sekali gus pasukan kelima tersingkir daripada kejohanan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU