Kajian MyCC Dapati Tiada Perlakuan Antipersaingan Dalam Pasaran Perumahan - Fuziah
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menunjukkan tiada perlakuan antipersaingan berkaitan tawaran harga dan pakej perumahan dalam pasaran perumahan setakat ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata selain beberapa kajian dan pemantauan yang dijalankan, MyCC juga tidak pernah menerima sebarang aduan khusus mengenai amalan antipersaingan berkaitan harga rumah.
Memetik Indeks Harga Rumah Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, beliau berkata trend harga rumah menunjukkan pertumbuhan sederhana yang berterusan sepanjang 2025.
“Selepas mencapai kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 4.4 peratus pada suku keempat 2024, kadar itu menurun secara beransur-ansur kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2025.
“Ia kemudian mencapai paras terendah pada suku keempat 2025. Kadar ini membuktikan harga pasaran perumahan secara umumnya adalah stabil,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah berkata MyCC juga telah melaksanakan beberapa kajian bagi mengenal pasti sama ada terdapat elemen antipersaingan dalam industri perumahan dan rantaian bekalan bahan binaan yang boleh mempengaruhi harga rumah.
Beliau berkata antaranya adalah penyiasatan terhadap pengusaha pasir di Kota Bharu serta kajian semula pasaran bahan binaan dalam industri pembinaan yang melibatkan empat bahan utama, iaitu besi, simen, konkrit siap bancuh dan pasir.
Menurut Fuziah, kajian harga simen dibuat memandangkan ia adalah antara faktor yang menyumbang kepada kos pembinaan dan seterusnya mempengaruhi harga rumah.
“Dapatan menunjukkan ada peningkatan harga simen berlaku susulan kenaikan harga kos bahan mentah seperti arang batu, kos pengeluaran seperti tenaga dan bahan api serta kos logistik dan pengangkutan yang berhubung kait dengan faktor geografi serta lokasi kilang,” katanya.
Selain itu, Fuziah berkata MyCC turut memantau proses perolehan kerajaan bagi mengesan sebarang unsur tipuan bida, termasuk yang berkaitan dengan sektor perumahan, namun setakat ini tiada siasatan melibatkan projek perumahan kerajaan dijalankan.
Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan Ismail untuk mewujudkan mekanisme pelaporan awam yang lebih mudah untuk pembeli rumah membuat aduan berhubung amalan mencurigakan atau tekanan membeli oleh ejen dan pemaju.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Dasar Cukai Karbon Negara Dalam Fasa Akhir - Kementerian Kewangan
- Lebih 42,000 Hilang Kerja Tahun Ini, Penutupan Perniagaan Punca Utama - Ramanan
- Pelaburan Langsung Asing Malaysia Melonjak 41.2 Peratus Kepada RM65.9 Bilion Pada 2025 - DOSM
- USM, UKM Tersenarai Antara 10 Universiti Terbaik Dunia Bagi Pencapaian SDG
- Kerajaan Ambil Pendekatan Terbuka, Terima Cadangan Tambah Baik BUDI DieselĀ