24/06/2026 01:24 PM

Pelaburan Langsung Asing Malaysia Melonjak 41.2 Peratus Kepada RM65.9 Bilion Pada 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 24 Jun -- Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi cemerlang itu disokong oleh suntikan ekuiti daripada pelabur asing dan aliran masuk dalam instrumen hutang.

“Ia mencerminkan keyakinan berterusan dalam kalangan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia, kedudukan FDI terkumpul meningkat kepada RM1.087 trilion pada akhir 2025, merangkumi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 51.4 peratus pada 2024,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pelaburan langsung Malaysia ke luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM12.4 bilion pada 2025, menyederhana daripada RM35.5 bilion pada tahun sebelumnya, tambah DoSM.

Sehubungan itu, jumlah kedudukan DIA berada pada RM589.3 bilion pada akhir 2025, mewakili 29.1 peratus daripada KDNK, susut daripada 32.2 peratus pada 2024.

“Pelaburan ini menjana pulangan sepanjang tahun berkenaan, dengan syarikat asing yang beroperasi di Malaysia mencatatkan pendapatan RM98.2 bilion, manakala perusahaan Malaysia di luar negara merekodkan pendapatan sebanyak RM39.9 bilion.

“Melihat kepada komposisi aliran FDI mengikut sektor, sektor perkhidmatan merupakan penerima utama pada 2025, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM59.5 bilion, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian dengan RM3.0 bilion dan pembuatan sebanyak RM2.6 bilion,” tambah kenyataan itu.

DoSM menyatakan dalam sektor perkhidmatan, subsektor maklumat dan komunikasi menyumbang sebanyak 53.6 peratus daripada jumlah aliran masuk perkhidmatan, mencerminkan peralihan global ke arah pendigitalan dan peningkatan infrastruktur pusat data.

Selain itu, aktiviti kewangan juga mencatatkan aliran masuk yang ketara sebanyak RM26.1 bilion, disokong oleh keyakinan pelabur yang berterusan terhadap landskap kewangan Malaysia.

Sementara itu, sektor pembuatan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan FDI, menjana RM55.5 bilion.

Sehingga akhir 2025, kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan mengekalkan kedudukan tertinggi dalam stok FDI di Malaysia dengan masing-masing bernilai RM596.7 bilion dan RM419.3 bilion.

DoSM memaklumkan rantau Asia kekal sebagai sumber utama FDI pada 2025, menyumbang sebanyak RM73.2 bilion dalam aliran masuk dan merangkumi pelaburan terkumpul FDI terbesar pada RM679.2 bilion.

Di rantau Asia, Singapura dan Hong Kong merupakan negara sumber utama bagi FDI, manakala benua Amerika menjadi rantau terkemuka dari segi pendapatan FDI sebanyak RM45.6 bilion, dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai pelabur utama.

Mohd Uzir berkata aliran keluar bersih DIA pada 2025 sebahagian besarnya didorong oleh sektor perkhidmatan yang mencatatkan RM15.6 bilion, terutamanya dalam aktiviti kewangan dan pengangkutan.

"Sektor ini juga mencatatkan bahagian terbesar bagi pendapatan DIA, berjumlah RM25.3 bilion, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak RM7.8 bilion.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kedudukan DIA, dengan nilai terkumpul sebanyak RM440.2 bilion dan diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian dengan RM68.9 bilion,” kata beliau.

DoSM menyatakan dari segi pengagihan mengikut rantau, Afrika merupakan destinasi utama bagi aliran DIA pada 2025, iaitu sebanyak RM7.0 bilion, dengan sebahagian besar pelaburan tertumpu dalam industri minyak dan gas.

Sementara itu, Asia mencatatkan pendapatan DIA tertinggi sebanyak RM22.8 bilion dan kekal sebagai rantau terbesar dari segi kedudukan DIA yang berjumlah RM339.0 bilion pada akhir 2025.

-- BERNAMA