USM, UKM Tersenarai Antara 10 Universiti Terbaik Dunia Bagi Pencapaian SDG
Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 24 Jun (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersenarai dalam kelompok 10 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026, yang menilai sumbangan institusi pengajian tinggi terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
USM berada di kedudukan kelima daripada 1,603 institusi pengajian tinggi yang dinilai, meningkat daripada tangga ke-14 pada 2025, manakala UKM melonjak 46 anak tangga ke kedudukan ketujuh dunia daripada tangga ke-53 tahun lepas.
Anugerah itu diumumkan Times Higher Education (THE) sempena Kongres Pembangunan Mampan Global 2026, di sini, malam Selasa.
Ketua Pegawai Pemasaran Education Malaysia Global Services (EMGS) Shahrill Sabarudin berkata pengiktirafan yang diterima kedua-dua universiti itu akan memberikan impak positif kepada usaha promosi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian USM dan UKM dalam THE Impact Rankings 2026 membuktikan kualiti serta kecemerlangan institusi pengajian tinggi Malaysia di pentas global. Pengiktirafan ini tentunya akan memudahkan EMGS dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan pelajar antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
USM turut mengekalkan kedudukan pertama dunia bagi SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat (Partnerships for the Goals), sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju global dalam membangunkan kerjasama strategik yang menyokong agenda pembangunan mampan.
Shahrill berkata kejayaan universiti Malaysia dalam penarafan global bukan sahaja meningkatkan reputasi negara, malah memperkukuh keyakinan pelajar antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi Malaysia.
Seiring usaha memperluas promosi pendidikan Malaysia di Indonesia, beliau berkata EMGS akan menganjurkan program Mega Ayo Kuliah di Malaysia pada 11 dan 12 Julai 2026 di Hotel Kempinski Jakarta.
Program itu dijangka menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia serta menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi Malaysia yang diiktiraf di peringkat dunia.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka