JCM Perkenal Penyertaan Antarabangsa, Perkukuh Pembangunan Bakat Berbasikal Negara
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) bakal memperkenalkan penyertaan pasukan jemputan antarabangsa dalam beberapa siri kejohanan akan datang sebagai langkah penting dalam pembangunan sukan berbasikal negara.
Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memaklumkan inisiatif itu dijangka meningkatkan standard persaingan dalam kalangan atlet tempatan, di samping memberi pendedahan lebih luas kepada pelumba muda negara untuk bersaing dengan atlet luar negara dalam suasana pertandingan bertaraf antarabangsa.
“Antara negara yang dikenal pasti untuk menerima jemputan ialah Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JCM untuk memperkukuh peranannya sebagai platform utama pembangunan bakat sukan berbasikal negara melalui penganjuran kejohanan yang lebih kompetitif dan berimpak tinggi.
Kenyataan itu turut memaklumkan JCM komited memperluaskan penyertaan kelab berbasikal dari seluruh negara kerana yakin ia akan memperkukuh ekosistem pembangunan sukan berbasikal tempatan, selain membuka ruang luas kepada bakat baharu untuk diketengahkan menerusi platform pertandingan berkualiti dan tersusun.
Terdahulu, JCM telah menganjurkan empat siri perlumbaan yang merangkumi dua kejohanan trek di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan serta dua kejohanan lebuh raya di Langkawi, Kedah dan Jeli, Kelantan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
“Penganjuran itu menerima sambutan menggalakkan menerusi 71 penyertaan daripada kelab dan pasukan berbasikal dari seluruh negara.
“Ia mencerminkan keyakinan komuniti berbasikal terhadap JCM sebagai platform pembangunan atlet pelapis yang berkesan dan relevan,” menurut kenyataan itu.
Bagi baki kalendar 2026, beberapa siri perlumbaan utama akan berlangsung, termasuk Siri 3 hingga 6 Lebuh Raya JCM di Rompin (Pahang), Negeri Sembilan, Kangar (Perlis) dan Sungai Besar (Selangor).
Selain itu, Pusingan Akhir Trek JCM akan berlangsung di Velodrom Nasional pada 12 hingga 15 Nov ini sebelum tirai musim 2026 dilabuhkan menerusi Pusingan Akhir Lebuh Raya JCM 2026 di Langkawi pada 30 Nov hingga 3 Dis ini.
JCM adalah program pembangunan sukan berbasikal yang diperkenalkan secara rasmi pada Mac 2016 di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diselia oleh MSN.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala Dunia FIFA 2026 Platform Kukuhkan Kerjasama & Persahabatan - Duta Mexico
- Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas
- Kerajaan Komited Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam, Tarik Pelabur Rusia Ke Malaysia
- Tourism Malaysia, KL Hop-On Hop-Off Lancar Kempen Pelancongan Domestik Sempena TMM2026
- Demam Piala Dunia Semarakkan Diplomasi Sukan Di Stadium Merdeka