DAP Umum Empat Calon Galas Cabaran Di PRN Johor
JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- DAP hari ini mengumumkan empat calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Empat calon berkenaan ialah Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan Nor Zulaila Abd Ghani, 38, yang dipertaruhkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram manakala Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor Lee Wern Yiing, 30, akan bertanding di Johor Jaya.
Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani, 33, pula diletakkan bertanding di DUN Bukit Permai manakala bekas penyandang DUN Senai, Wong Bor Yang, 40, diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Pengumuman keempat-empat calon berkenaan diumumkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada majlis pengumuman calon, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dan Timbalannya Wong Shu Qi.
Loke berkata buat pertama kalinya, parti itu mengambil keputusan untuk meletakkan calon bertanding di DUN Tiram yang merupakan kerusi campuran kerana yakin akan mendapat sokongan selain calon dipilih adalah di kalangan yang terbaik.
Menyentuh mengenai percaturan di DUN Senai dan Bukit Permai, Loke berkata ia sebahagian daripada strategi Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai sepenuhnya DUN di bawah Parlimen Kulai yang memiliki tiga DUN.
"Jadi strategi kita ialah untuk menawan ketiga-tiga kerusi ini kerana Bukit Batu (ditandingi PKR) dan Senai memang kerusi penyandang kita.
"Kali ini DAP bertanding di kawasan Bukit Permai dan kita telahpun meletakkan seorang calon (Mohamad Shafwan) yang ada pengalaman di kawasan ini yang telah berkecimpung aktif di lapangan kawasan tersebut sejak sembilan tahun lalu," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersama Umum Calon PRN Johor Jumaat Ini
- Selat Hormuz Akan Ditutup Susulan Pelanggaran Oleh AS, Israel - Iran
- Setia Fontaines Industrial Park Pacu Pelaburan Teknologi Tinggi Di Pulau Pinang
- PM Anwar Seru Rakyat Pertahan Semangat Muafakat, Tolak Sentimen Perkauman
- Speedy Tigers Kelima Terbaik Piala Negara-negara FIH