Pusat Darah Negara Sasar Kadar Derma Darah Capai Tiga Peratus
SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Pusat Darah Negara menyasarkan peningkatan kadar pendermaan darah di Malaysia kepada sekurang-kurangnya tiga peratus daripada jumlah populasi semasa bagi memastikan bekalan darah negara kekal stabil dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara Dr Tun Maizura Mohd Fathullah berkata kadar pendermaan darah negara ketika ini berada pada tahap 2.3 peratus, iaitu bersamaan 23 penderma bagi setiap 1,000 penduduk.
“Justeru, kita perlu meningkatkan kesedaran masyarakat supaya kadar ini dapat mencapai sekurang-kurangnya tiga peratus atau 30 penderma bagi setiap 1,000 populasi.
“Peningkatan ini penting bagi menampung keperluan pesakit talasemia, kes pembedahan, wanita bersalin serta mangsa kemalangan yang memerlukan bekalan darah segera,” katanya selepas menerima sumbangan 2,250 beg darah menerusi Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.
Dr Tun Maizura berkata bekalan darah di Pusat Darah Negara ketika ini masih mencukupi, namun kutipan perlu dijalankan secara berterusan berikutan permintaan yang konsisten serta jangka hayat komponen darah yang terhad.
“Platelet hanya boleh disimpan selama lima hari manakala sel darah merah mempunyai tempoh simpanan antara 35 hingga 42 hari,” katanya.
Beliau berkata usaha meningkatkan jumlah penderma baharu perlu diperkasakan bagi menggantikan penderma sedia ada yang bakal mencapai had umur maksimum pendermaan darah iaitu 70 tahun.
Menurutnya, keperluan itu turut didorong oleh pertambahan hospital kerajaan yang meningkatkan permintaan terhadap bekalan darah dan beban kerja perubatan.
Beliau turut menggalakkan masyarakat menjadi penderma tetap dengan menderma darah setiap tiga bulan dan bukannya hanya tampil ketika berlaku kecemasan atau kekurangan bekalan.
“Bagi mengimbangi permintaan yang tinggi, Pusat Darah Negara sentiasa memantau stok semua kumpulan darah, khususnya kumpulan O memandangkan hampir 50 peratus rakyat Malaysia memiliki kumpulan darah tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna yang dilancarkan Setiausaha Politik Menteri Kesihatan Mohammad Faisal Ismail dengan diiringi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM Prof Dr Norazah Abd Rahman, berjaya menghimpunkan 2,255 penderma dari 10 pagi hingga 5 petang.
Kempen melibatkan penyertaan warga UiTM dari 21 kampus seluruh negara itu menjadi platform penting dalam membantu menjamin bekalan darah negara, khususnya di Lembah Klang yang memerlukan antara 600 hingga 700 beg darah setiap hari bagi pelbagai prosedur perubatan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
- Kesepakatan, Perpaduan Penting Untuk Jayakan Pembaharuan Hijrah - PM
- Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
- RTM Perkukuh Infrastruktur Digital, Lindungi Hak Siaran Eksklusif Piala Dunia
- PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.84 Juta