PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.84 Juta
KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 8,800 helai kain batik dipercayai diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori dalam operasi bersepadu di Kampung Simpangan, Tumpat, pagi tadi.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan yang melibatkan anggota Risik, Task Force dan Pos PK 4 Batalion 8 PGA dengan kerjasama Jabatan Kastam Pengkalan Kubor.
Beliau berkata operasi bermula pada 7.30 pagi selepas pasukan serbuan menjalankan pemerhatian menggunakan dron di kawasan Pangkalan Haram Nibong, Tumpat.
“Hasil pemerhatian mendapati sebuah lori memasuki kawasan pangkalan haram berkenaan sebelum sebuah perahu dari arah Thailand tiba membawa beberapa guni berwarna biru dan putih.
“Beberapa lelaki kemudian dilihat memunggah guni-guni tersebut ke dalam lori sebelum kenderaan itu bergerak keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata pasukan serbuan kemudian menahan lori itu di kawasan Kampung Simpangan dan hasil pemeriksaan menemukan sejumlah guni mengandungi 8,800 helai kain batik.
Beliau berkata pemandu lori terbabit iaitu lelaki tempatan berusia 32 tahun kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan dia dikatakan menerima upah RM50 bagi membawa muatan berkenaan.
"Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.84 juta melibatkan kain batik bernilai RM1.76 juta dan lori bernilai RM80,000,” katanya menambah siasatan awal mendapati kain batik itu dipercayai akan dihantar ke sebuah rumah di kawasan Pasir Tumbuh, di sini sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi dari Terengganu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Umat Islam Sambut 1 Muharam Dengan Mengimarahkan Masjid dan Surau
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
- Kesepakatan, Perpaduan Penting Untuk Jayakan Pembaharuan Hijrah - PM
- Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
- RTM Perkukuh Infrastruktur Digital, Lindungi Hak Siaran Eksklusif Piala Dunia