16/06/2026 09:44 PM

Kesepakatan, Perpaduan Penting Untuk Jayakan Pembaharuan Hijrah - PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semangat Hijrah perlu diterjemahkan melalui kesepakatan dan perpaduan bagi menggerakkan pembaharuan yang menegakkan keadilan, kebenaran, kemakmuran serta keselamatan.

Menerusi hantaran di Facebook sempena Maal Hijrah 1448H hari ini, beliau berkata peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah membuktikan kejayaan besar tidak tercapai secara bersendirian sebaliknya melalui ikhtiar berpasukan berasaskan kesatuan iman.

Anwar berkata sejarah Hijrah turut memperlihatkan peranan penting anak muda seperti Saidina Ali Abi Talib, sumbangan wanita seperti Asma Abu Bakar serta ramai sahabat yang mengatur dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah itu.

"Menzahirkan semangat Hijrah dalam realiti semasa tidak mudah. Ia perlukan kesepakatan dan kerjasama rangkaian komuniti dengan kepelbagaiannya.

"Kejayaan tidak akan hadir hanya dengan retorik slogan dan semangat bersendirian tapi harus dilakukan bersama dengan penuh kesabaran menuju kemenangan," katanya.

Perdana Menteri berkata kemahuan melakukan pembaharuan atas esensi Hijrah harus menjadi ikhtiar bersama dan bukan milik sesiapa.

"Kita selami semangat hijrah dan segala pengajaran mulia yang terpahat namun dalam mencapai cita-cita perubahan dan pembaharuan ini, kerjasama dan perpaduan amat bernilai dalam menggapai kejayaan," katanya.

Anwar turut berkongsi maksud ayat 100 Surah An-Nisa mengenai ganjaran bagi mereka yang berhijrah pada jalan Allah.

"Hijrah Itu Pengorbanan, Hijrah Itu Perjuangan, Hijrah Itu Persaudaraan, Hijrah Membentuk Perpaduan. Salam Maal Hijrah 1448H," kata beliau. 

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" diangkat sebagai tema Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M, bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik permulaan pembinaan tamadun Islam unggul melalui penubuhan negara Madinah.

-- BERNAMA