Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Generasi muda di negara ini disaran menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai inspirasi untuk melakukan perubahan positif dalam kehidupan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata hijrah Rasulullah SAW merupakan titik perubahan penting dalam sejarah Islam yang membawa kepada transformasi menyeluruh masyarakat, yang harus dijadikan teladan oleh semua.
“Anak muda di Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar. Marilah kita sama-sama mengingati dan menghayati hijrah Rasulullah SAW yang merupakan satu turning point, satu detik bermulanya perubahan yang berlaku secara menyeluruh dan ia bermula dengan akhlak, adab serta ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program tausiyyah dan majlis bacaan doa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sambutan pada tahun ini, Zulkifli berkata tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" amat relevan tatkala negara mendepani pelbagai cabaran semasa termasuk isu sosial yang melibatkan golongan muda.
Zulkifli berkata sambutan peringkat kebangsaan turut membawa kelainan apabila program utama dimulakan di masjid bagi mengimbau sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, yang menyaksikan masjid menjadi institusi pertama dibangunkan Baginda.
“Tahun ini kita memilih Masjid Putra sebagai destinasi untuk memulakan cetusan gelombang mengingati sejarah perjuangan Baginda Rasulullah SAW. Masjid merupakan tempat bermulanya ketamadunan dan pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata sambutan itu turut diadakan secara berhemah dengan mengambil kira keperluan penjimatan tenaga susulan krisis tenaga global yang sedang berlaku.
Selain itu, katanya, syarahan perdana oleh Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diadakan di Auditorium JAKIM pada 18 Jun ini dan dijangka disertai kira-kira 1,000 peserta.
"Program itu akan memberi peluang kepada masyarakat mendengar pesanan, pandangan dan pengalaman tokoh-tokoh berkenaan dalam menghayati semangat hijrah serta pembangunan ummah," katanya.
Kemuncak Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M dijadual berlangsung esok bersempena 1 Muharam 1448H di Masjid Putra bermula 7 pagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kategori Kebangsaan dan Antarabangsa.
Majlis berkenaan akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Masjid Putra Tumpuan 5,000 Tetamu Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Pagi Ini
- PMÂ Anwar Tiba Di Kazan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM