Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
PETALING JAYA, 17 Jun (Bernama) -- Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan kekal sebagai komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.
Beliau berkata Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.
"Kita akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral.
"Kalau ikut perlembagaan, ada perkara-perkara dan fasal-fasal tertentu yang perlu dipatuhi... mereka mesti mematuhi peruntukan tersebut dan perlu mencapai konsensus," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan di Ibu Pejabat Bersatu malam ini.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini, PAS secara rasmi mengumumkan bahawa parti itu menghentikan segala bentuk kerjasama politik dengan Bersatu.
Muhyiddin juga berkata Bersatu sedia berdepan dengan PAS pada PRN berkenaan sekiranya usaha perbincangan untuk memulihkan hubungan dua parti terbesar dalam PN itu gagal.
Beliau berkata Pengerusi PN sewajarnya bertemu dengan semua parti komponen untuk agihan kerusi dalam pilihan raya itu namun sehingga kini, Bersatu tidak menerima sebarang tarikh mesyuarat mengenai perkara itu.
Katanya Bersatu akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia
- TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah