Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
SEPANG, 17 Jun (Bernama) -- Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta berlepas pulang ke Dili awal pagi ini selepas mengakhiri lawatan khas selama lima hari ke Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dua hala dan hubungan serantau.
Ramos-Horta bersama-sama delegasinya sebelum itu melakukan perjalanan ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan Batik Air yang dijadualkan berlepas pada 2.15 pagi.
Terdahulu, sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 1.33 pagi, beliau memeriksa kawalan kehormatan statik yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten J. Lingesri Rao.
Sepanjang lawatan itu, Ramos-Horta yang menghadiri sesi dialog bertajuk Navigating Turbulent Times, Pursuing Peace pada 15 Jun lepas, menyifatkan hubungan diplomatik antara Timor-Leste dan Malaysia sebagai “amat baik” serta memuji pencapaian negara ini dalam aspek keselamatan, demokrasi dan pembangunan ekonomi.
Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia kepada Timor-Leste sejak sebelum negara berkenaan mencapai kemerdekaan pada 2002 termasuk menerusi penglibatan pasukan pengaman pada 1999.
Ramos-Horta turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan terhadap permohonan Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN semasa negara memegang jawatan Pengerusi, dan negara itu secara rasmi menjadi anggota ke-11 blok serantau berkenaan pada 26 Okt 2025.
Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Timor-Leste bersedia menjadi tuan rumah ASEAN pada 2029, dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan sedang dipercepat bagi mencapai sasaran itu.
Sebagai usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, Presiden itu mempelawa para pelabur Malaysia untuk meneroka peluang dalam sektor infrastruktur di Timor-Leste, dengan merujuk kepada tahap hutang yang rendah dan dana negara itu yang kukuh kerana disokong oleh institusi kewangan pelbagai pihak.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menganjurkan majlis makan tengah hari sempena kunjungan Ramos-Horta ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana di mana kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan, pendidikan serta latihan teknikal.
Pada 2024, perdagangan Malaysia-Timor-Leste berjumlah USD18.72 juta (RM85.68 juta) dengan eksport sebanyak USD18.37 juta (RM84.06 juta) dan import USD0.35 juta (RM1.62 juta).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Tiba Di Kazan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia