KPJ Healthcare Terus Memajukan Sistem Kesihatan KPJ, Perluas AI Dalam Penjagaan Kesihatan
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd akan terus memajukan Sistem Kesihatan KPJ (KPJHS) berikutan prestasi tahun kewangan 2025 yang kukuh.
Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada integrasi yang lebih mendalam di seluruh rangkaiannya, memperluas inisiatif penyepaduan unsur transformasinya dan mempercepatkan pembangunan Pusat Kecemerlangan.
Dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-33 syarikat itu hari ini, KPJ Healthcare memaklumkan ia juga merancang untuk memperluas penerimagunaan kecerdasan buatan (AI), genomik dan penjagaan berasaskan nilai bagi menyokong menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang diperibadikan dan berorientasikan hasil.
“Sebagai Sistem Kesihatan Akademik Bersepadu swasta pertama di Malaysia, KPJ Healthcare kekal komited untuk menterjemahkan segala usaha ini kepada hasil kesihatan yang lebih baik serta nilai yang mampan demi komunitinya,” jelasnya.
Bagi tahun kewangan 2025, KPJ Healthcare mencatatkan hasil sebanyak RM4.26 bilion, meningkat berbanding RM3.90 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai bertambah kepada RM563 juta dan keuntungan selepas cukai naik 10 peratus kepada RM402 juta.
Pengerusinya Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata tahun kewangan 2025 mencerminkan evolusi berterusan KPJ Healthcare daripada sekadar rangkaian hospital kepada sistem kesihatan yang lebih bersepadu yang menyatukan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
“Pendekatan ini memperkukuh keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi, melahirkan bakat penjagaan kesihatan masa depan serta memacu inovasi, sambil mewujudkan nilai mampan kepada pesakit, komuniti dan pemegang saham,” kata beliau.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusannya Chin Keat Chyuan berkata sepanjang tahun kewangan 2025, kumpulan berkenaan mencapai kemajuan yang bermakna merentasi kecemerlangan klinikal, pembangunan bakat dan inovasi, di samping memperkukuh asas yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan masa depan kumpulan.
Antara pencapaian utama sepanjang tahun termasuk pelancaran Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital, beberapa pencapaian klinikal pertama dalam rangkaian KPJ seperti pelaksanaan prosedur Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC) pertama oleh sektor swasta di Malaysia dan pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS).
KPJ juga meneruskan kerjasama strategik dengan Mayo Clinic, memperluas program latihan khusus melalui School of Digital Health dan AI Academy di KPJ Healthcare University, serta memperkenalkan pelbagai inisiatif inovasi termasuk Sistem Pengurusan Penyelidikan dengan kerjasama University of Melbourne bagi memacu inovasi kesihatan digital.
Selain itu, ia membangunkan chatbot dengan penglibatan pesakit berasaskan AI atas kerjasama IBM Malaysia.
Dalam meneruskan momentum ini, KPJ turut memperkukuh keutamaan strategiknya pada tahun kewangan 2026 termasuk melalui pelancaran Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok Damansara Specialist Hospital 2, kejayaan melaksanakan prosedur pemindahan buah pinggang di Tawakkal Specialist Hospital.
Kumpulan itu juga turut memeterai memorandum persefahaman dengan Royal College of Surgeons of England bagi memperkukuh lagi kecemerlangan klinikal dan pembangunan bakat penjagaan kesihatan di seluruh Sistem Kesihatan KPJ.
Bagi maklumat lanjut mengenai KPJ Healthcare, layari https://kpjhealth.com.my/.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
- Kesepakatan, Perpaduan Penting Untuk Jayakan Pembaharuan Hijrah - PM
- Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
- RTM Perkukuh Infrastruktur Digital, Lindungi Hak Siaran Eksklusif Piala Dunia
- PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.84 Juta