PH Utamakan Agenda Rakyat, Tidak Pandang Remeh Parti Baharu - Fahmi
KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) tidak akan memandang sambil lewa dan mengambil mudah kewujudan beberapa parti baharu seperti Parti Wawasan Negara (PWN) dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata sebaliknya, jentera parti akan melipatgandakan usaha mendekati rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka dengan lebih berkesan.
"Saya bagi contoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh selesaikan penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara (di Kuala Lumour) untuk mendapatkan perumahan baharu.
"Jadi, dalam memilih pemimpin, kita kena pilih yang bersih serta baik dan memikirkan masa depan negara," katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Kelantan di sini hari ini.
Ditanya mengenai persediaan PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata proses saringan nama calon sedang berjalan dan akan diumumkan selepas dipersetujui kepimpinan parti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Scanwolf Peroleh Projek Substruktur Bernilai RM75 Juta Di KL
- Sultan Selangor Nasihat Umat Islam Sentiasa Utamakan Perpaduan
- Harga SMR 20 Capai Paras Tertinggi Dalam Tempoh Sembilan Tahun Susulan Bekalan Terhad
- PM Ke Kazan Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia, Kerjasama ASEAN-Rusia - Duta
- PM Anwar Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia 2026 Di Kazan