Pasaran Ekuiti Malaysia Dijangka Meningkat Semula Pada Separuh Kedua 2026 - Affin Hwang
KUALA LUMPUR,16 Jun (Bernama) -- Affin Hwang Investment Bank Bhd menjangkakan pasaran ekuiti Malaysia akan pulih pada separuh kedua 2026, dipacu oleh harapan terhadap perjanjian damai Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Ketua Penyelidikan Affin Hwang, Loong Chee Wei berkata pasaran secara umumnya tidak menyukai ketidakpastian dan potensi perjanjian damai AS-Iran, bersama-sama dengan pembukaan Selat Hormuz akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur.
"Impak peperangan itu ke atas Malaysia adalah minimum; dalam masa sebulan, pasaran kembali pulih daripada paras terendah dan kini didagangkan hampir menyamai paras dicatatkan tahun lepas,
“Justeru, menangani ketidakpastian, menerusi pembukaan Selat Hormuz, saya menjangkakan pasaran akan meningkat lagi,” katanya ketika membentangkan prospek pasaran separuh kedua 2026 ketika majlis pelancaran Pelaburan Berkaitan Ekuiti (ELI) di sini hari ini.
Presiden AS Donald Trump dilaporkan berkata pada Isnin bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya menjelang pada Jumaat susulan perjanjian antara Washington dan Tehran untuk menamatkan konflik di Asia Barat.
Loong menekankan bahawa asas pasaran Malaysia kekal kukuh dengan pendapatan korporat diunjurkan berkembang sekitar sembilan peratus tahun ini, kadar kukuh berbanding sebelum ini.
“Selain itu, terdapat potensi hasil melonjak. Purata hasil pasaran di Malaysia adalah kira-kira empat peratus. Pada asasnya, banyak syarikat mempunyai struktur permodalan yang sangat baik dan mereka boleh mengisytiharkan dividen lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Loong menyatakan bahawa penilaian pasaran kekal menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan di bawah paras purata manakala inisiatif seperti program MY Value Up dijangka menarik lebih banyak aliran masuk dana asing pada separuh kedua 2026.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'overweight' dan telah menetapkan sasaran akhir tahun pada 1,780 mata untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), diturunkan sedikit daripada 1,830 mata sebelum ini terutamanya disebabkan oleh kebimbangan mengenai ketidaktentuan pasaran global," katanya lagi.
Pemangkin utama yang menyokong pasaran Malaysia termasuk pertumbuhan pelaburan yang berterusan untuk pembinaan kapasiti, langkah korporat yang akan menjana nilai, usaha untuk lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan dan tawaran awam permulaan.
"Kita juga melihat peningkatan dalam penggunaan. Ia terkesan sebelum ini disebabkan oleh sentimen yang kurang rancak ekoran peperangan. Beberapa syarikat pengguna mengalami sedikit tekanan kos yang mengecilkan margin keuntungan," katanya.
Sementara itu, Loong berkata Affin Hwang mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.8 peratus pada 2026. Bagaimanapun, terdapat risiko bahawa ia mungkin menyederhana disebabkan oleh gangguan bekalan akibat konflik antara AS dan Iran.
Ringgit dijangka menokok kepada RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, namun terdapat sedikit risiko disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran mata wang global.
“Kami menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal sekitar RM4,500 satu tan metrik. Ia akan memberi kesan positif kepada syarikat perladangan.
"Kami memberi tumpuan kepada sektor perbankan, pembinaan, perladangan, hartanah serta utiliti dari segi sektor utama saranan 'overweight'. Sektor-sektor ini lebih berpaksikan pasaran tempatan dan mampu meraih keuntungan daripada pertumbuhan eksport," katanya lagi.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
- Kesepakatan, Perpaduan Penting Untuk Jayakan Pembaharuan Hijrah - PM
- Golongan Muda Diseru Hayati Semangat Hijrah Untuk Bawa Perubahan Positif - Zulkifli
- RTM Perkukuh Infrastruktur Digital, Lindungi Hak Siaran Eksklusif Piala Dunia
- PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.84 Juta