AS, Iran Tandatangani Perjanjian Gencatan Senjata, Butiran Masih Belum Jelas
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Reuters) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata satu perjanjian awal bagi menamatkan perang di Teluk telah ditandatangani oleh AS dan Iran, namun butirannya masih belum didedahkan kepada umum dan kedua-dua negara memaklumkan bahawa gencatan senjata kekal masih belum dirundingkan.
Perjanjian itu akan melanjutkan gencatan senjata rapuh yang diumumkan pada April selama 60 hari lagi serta membuka semula Selat Hormuz, yang telah disekat Iran sejak AS dan Israel menyerang negara itu pada Februari.
Para perunding dijangka menangani isu sukar seperti masa depan program nuklear Iran pada fasa seterusnya.
“Perjanjian itu sudah ditandatangani,” kata Trump selepas tiba di Perancis untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7), yang menghimpunkan ekonomi utama dunia. Beliau berkata Naib Presiden JD Vance akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian rasmi di Geneva pada Jumaat.
Harga minyak jatuh ke paras terendah sejak 10 Mac, sejurus selepas sekatan di Selat Hormuz, laluan air sempit antara Iran dan Oman, menjejaskan satu perlima perdagangan minyak dunia.
Perjanjian itu merupakan langkah paling penting setakat ini ke arah menyelesaikan konflik yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 7,000 nyawa, sebahagian besarnya di Iran dan Lubnan selain menjejaskan pasaran tenaga global.
Bagaimanapun, banyak perkara mengenai perjanjian itu masih belum diketahui dan sama ada peruntukannya berbeza daripada gencatan senjata April lalu juga masih tidak jelas.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian menulis di media sosial bahawa memorandum persefahaman AS-Iran adalah satu “langkah penting” ke arah menghentikan pertempuran, namun menyatakan bahawa perjanjian muktamad bagi gencatan senjata yang berkekalan “masih belum terbentuk”.
Vance memberitahu CNN bahawa memorandum yang ditandatangani itu hanya kira-kira satu setengah halaman dan merupakan “dokumen yang sangat umum”. Pegawai AS berkata butiran lanjut akan diumumkan dalam tempoh dua hari akan datang. Vance berkata ia termasuk “pakej pelepasan sekatan yang sangat besar” untuk Iran.
Pegawai AS dan Iran berkata perjanjian itu akhirnya boleh memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada Iran menerusi penarikan balik sekatan, pembebasan aset asing yang dibekukan serta penubuhan dana pembinaan semula bernilai US$300 bilion, yang dibiayai oleh negara-negara Teluk berjiran yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Pegawai AS yang enggan dikenali, berkata Iran perlu memenuhi tuntutan AS untuk tidak membangunkan senjata nuklear serta menghentikan sokongan terhadap kumpulan bersenjata seperti Hizbullah di Lubnan bagi memperoleh manfaat itu.
Iran bersetuju mengehadkan program nuklearnya secara ketara menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 2015 bersama AS dan beberapa negara lain. Trump menarik keluar AS daripada perjanjian itu semasa penggal pertamanya sebagai presiden. Perjanjian berkenaan membolehkan Iran mendapatkan semula berbilion dolar dalam aset yang dibekukan.
Trump dilihat hanya mencapai sedikit daripada apa yang mahu dicapainya apabila melancarkan serangan ke atas Iran bersama Israel pada 28 Feb. Kerajaan teokratik Iran masih kekal, manakala tuntutan beliau supaya Iran menghapuskan program peluru berpandu balistik dan menamatkan sokongan terhadap kumpulan serantau seperti Hizbullah masih belum dipenuhi.
Perjanjian baharu itu juga tidak menyelesaikan isu simpanan uranium diperkaya Iran, yang menurut Trump mahu dimusnahkan atau dipindahkan.
Pegawai Iran, yang sentiasa menafikan niat membangunkan senjata nuklear, berkata mereka “tidak banyak berkompromi” dengan bersetuju menyambung semula perbincangan diplomatik bersama pegawai Trump mengenai program nuklear yang tergendala pada Februari susulan keputusan Trump melancarkan perang.
Walaupun perjanjian terbaharu itu menamatkan sekatan Iran ke atas Selat Hormuz, keadaan itu hanya mengembalikan status quo sebelum perang, dan syarikat perkapalan memaklumkan trafik hanya akan disambung semula selepas keselamatan terjamin.
Iran memberi bayangan bahawa ia akan terus mengawal selat itu bersama Oman. AS pula menyatakan selat berkenaan akan dibuka tanpa tol selama 60 hari dan menjangkakan peruntukan itu turut menjadi sebahagian daripada perjanjian muktamad.
Pertempuran antara sekutu AS, Israel dan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, yang menyebabkan 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kekal menjadi isu utama.
Iran menyatakan perjanjian itu memerlukan penghentian penuh permusuhan di negara itu, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Israel akan terus mengekalkan tenteranya di selatan Lubnan serta mengekalkan hak untuk bertindak balas terhadap serangan Hizbullah.
Seorang pegawai AS berkata pengunduran Israel dari Lubnan, yang dicerobohnya pada Mac selepas Hizbullah menyertai perang, bukan syarat dalam perjanjian itu. Percanggahan sama ada Lubnan turut termasuk dalam perjanjian itu juga menjadi pertikaian dalam perjanjian gencatan senjata April lalu.
Sumber keselamatan pada Isnin berkata pertempuran di Lubnan semakin reda selepas pengumuman perjanjian itu, namun belum berhenti sepenuhnya.
Media kerajaan Lubnan melaporkan satu dron Israel menyerang sebuah kereta di bandar Kfar Tebnit di selatan Lubnan, mengorbankan pemandunya. Netanyahu berkata tentera Israel telah membunuh empat “anggota kumpulan bersenjata”.
Menteri Luar Iran Abbas Araqchi berkata serangan Israel mesti dihentikan serta-merta.
-- REUTERS
Kata kunci
Berita terkini
- Qingdao Bakal Anjur Ekspo e-Dagang Rentas Sempadan Lembangan Sungai Kuning
- Projek E-ART Penting Untuk Penyuraian Trafik Menjelang Pengoperasian RTS Link - Onn Hafiz
- Skim Baharu: Perkeso Jangka Lonjakan Tuntutan Sehingga 200 Peratus Setahun - Ramanan
- Pelatih Silat Didakwa Hasut, Hina Institusi Yang Di-pertuan Agong
- Daripada Juadah Istimewa Kuno kepada Trend Global: Peningkatan Perindustrian dan Perjalanan Global bagi Beri Goji Ningxia