16/06/2026 02:30 PM

Pelatih Silat Didakwa Hasut, Hina Institusi Yang Di-pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Seorang pelatih silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerbitkan hantaran berunsur hasutan dan menghina institusi Yang di-Pertuan Agong, tahun lepas.

Raden Mohd Azrul Amirulla, 36, didakwa melakukan perbuatan itu menerusi akaun Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di sini pada 2.30 petang, 23 Dis 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Farhanna Roslan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai perawat perubatan tradisional serta pelatih silat berpendapatan RM4,000 hingga RM6,000 selain menyara ibu dan enam anak.

“Hukuman denda (bagi kesalahan itu) tidak melebihi RM5,000, jadi wang jaminan tidak sepatutnya tinggi. Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan dijalankan,” katanya yang memaklumkan tertuduh menetap di Kota Kinabalu, Sabah.

Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA