Karyawan Berhasrat Serah Resolusi Konvensyen Penggiat Muzik Kepada PM
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan merumuskan beberapa resolusi untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Konvensyen Penggiat Muzik pada Ahad ini dalam usaha memperkasa masa depan industri muzik tempatan.
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata resolusi itu akan dibentuk hasil perbincangan bersama dengan lebih 200 artis dan penggiat muzik yang dijangka menghadiri konvensyen berkenaan di Restoran Saloma di sini.
“Selama 20 tahun yang lepas, saya nampak banyak perkembangan yang membimbangkan, merisaukan dan juga tidak begitu sihat dalam industri... kita kena ada pembaharuan dalam industri dan tengok apa yang perlu dibaiki,” katanya pada sidang media konvensyen berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata memorandum itu dijangka disediakan dalam tempoh kira-kira seminggu selepas konvensyen dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan industri, penggunaan kecerdasan buatan (AI), sistem royalti, bantuan kepada artis, pendidikan muzik serta peluang kerjaya penggiat muzik.
Freddie berkata konvensyen itu juga diadakan bagi menyediakan platform kepada penggiat muzik untuk menyuarakan pandangan dan mendapatkan penjelasan tentang pelbagai isu yang masih kabur dan mengelirukan dalam industri berkenaan.
Menyentuh mengenai isu royalti, beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia antara isu lama yang masih menjadi kebimbangan penggiat muzik khususnya membabitkan agihan kepada artis.
Beliau berkata berdasarkan penelitian terhadap laporan tahunan berkaitan, kutipan syarikat rakaman dalam tempoh kira-kira 15 tahun dari 2002 hingga 2017 mencecah hampir RM700 juta berbanding kira-kira RM20 juta yang diagihkan kepada badan artis.
Selain itu, Freddie berkata penggunaan AI juga memerlukan perbincangan menyeluruh bagi mewujudkan garis panduan yang dapat mengimbangi perkembangan teknologi dengan kepentingan penggiat muzik.
Beliau berkata industri muzik perlu menyediakan maklumat, peluang dan saluran yang lebih jelas kepada bakat muda supaya mereka dapat membina kerjaya secara lebih teratur dalam bidang berkenaan.
“Kita mungkin akan fikirkan tentang undang-undang berkaitan industri... peraturan... apakah bantuan yang lebih baik kepada artis-artis untuk kembangkan kerjaya dalam industri,” katanya.
Konvensyen sehari itu dijadual bermula pada 10 pagi Ahad ini dan akan menampilkan beberapa pemain industri serta ahli akademik sebagai panel antaranya aktivis muzik Joe Lee, komposer Dr Moja Salim dan Pengarah Urusan Live Nation Para Rajagopal.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Berucap Di Forum Perniagaan ASEAN-Rusia
- Masjid Putra Tumpuan 5,000 Tetamu Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Pagi Ini
- PMÂ Anwar Tiba Di Kazan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin