Projek E-ART Penting Untuk Penyuraian Trafik Menjelang Pengoperasian RTS Link - Onn Hafiz
KULAI, 16 Jun (Bernama) – Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) amat penting untuk memastikan Johor Bahru tidak berdepan dengan kesesakan trafik yang lebih kritikal apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mula beroperasi pada awal tahun hadapan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata E-ART ialah penyelesaian jangka panjang yang diperlukan bagi menyokong sistem mobiliti bandar raya itu memandangkan rangkaian jalan raya sedia ada dijangka sukar menampung peningkatan pergerakan penumpang selepas RTS Link beroperasi sepenuhnya.
Onn Hafiz berkata langkah jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan ketika ini termasuk perluasan kemudahan Park & Ride serta pengurusan trafik pintar di JB Sentral hanya mampu mengurangkan kesesakan buat sementara waktu.
“Langkah-langkah jangka pendek dan sederhana ini terpaksa kita laksanakan kerana projek utama yang mampu menyuraikan trafik RTS masih belum dimulakan.
“Jadi, Yang Berhormat Menteri (Pengangkutan) ada satu projek yang masih perlu kita berikan tumpuan dan segerakan, iaitu projek E-ART,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen KTM Kulai, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Onn Hafiz berkata keperluan pelaksanaan E-ART penting memandangkan Johor Bahru sahaja mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk, hampir menyamai keseluruhan populasi Pulau Pinang.
Beliau berkata kedudukan Johor Bahru sebagai pintu masuk antarabangsa utama negara dengan pergerakan rentas sempadan yang tinggi turut menuntut sebuah sistem pengangkutan awam yang cekap, berkapasiti tinggi dan mempunyai kesalinghubungan yang baik.
“Saya percaya kesungguhan dan kecepatan Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek ini akan memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat Johor, khususnya dalam mengurangkan kesesakan dan membaiki mobiliti harian.
“Inilah bentuk intervensi Persekutuan yang benar-benar boleh dirasai, dihargai dan diingati oleh rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Padah Tampar Anggota Polis, Warga Emas Dipenjara Sebulan
- IRDA, Kerajaan Bandar Taoyuan Taiwan Jalin Pakatan Memajukan Kolaborasi Industri
- Malaysia, Timor-Leste Teroka Peluang Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang Strategik - PM Anwar
- Lloyd’s List Peraku Penyatuan Data PTP-Pelabuhan Pasir Gudang - Loke
- ECRL Bakal Jadi Simbol Persahabatan Abadi Malaysia-China - Duta