14/06/2026 11:16 AM

Wartawan Perlu Jadi Usahawan Kandungan

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Jika suatu ketika dahulu tugas wartawan dianggap selesai sebaik laporan dihantar ke meja editor, perkembangan teknologi dan perubahan landskap media kini menuntut peranan yang jauh lebih luas daripada sekadar melaporkan berita.

Dalam era persaingan digital yang semakin sengit, wartawan bukan lagi sekadar pengumpul maklumat, sebaliknya perlu berfikir sebagai usahawan kandungan yang mampu mengenal pasti peluang, memahami kehendak pembaca serta menghasilkan laporan yang mempunyai nilai komersial dan impak kepada audiens.

Pengarang Bersekutu (Kandungan dan Digital) New Straits Times (NST) Najmuddin Najib berkata wartawan masa kini perlu melangkaui tugas asas melaporkan sesuatu peristiwa dan sentiasa mencari nilai tambah daripada setiap isu yang dikendalikan.

“Wartawan hari ini tidak boleh lagi sekadar menjadi pelapor pasif. Untuk kekal relevan, kami di NST melatih wartawan supaya melihat bagaimana sesuatu tugasan boleh dikembangkan daripada pelbagai sudut, sekali gus menghasilkan rantaian isu yang lebih besar.

“Mereka tidak boleh sekadar menghantar berita dan menganggap tugas sudah selesai. Sebaliknya, wartawan perlu berfikir seperti usahawan kandungan yang sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan laporan dan menarik minat pembaca,” katanya kepada Bernama bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad dalam industri media, beliau berkata kejayaan NST bertahan selama 181 tahun tidak mungkin dicapai sekiranya organisasi itu hanya bergantung kepada pihak pengurusan untuk mengkomersialkan kandungan berita.

Beliau berkata kemajuan teknologi turut menyediakan pelbagai alat analitik yang membolehkan organisasi media memahami tingkah laku pembaca secara masa nyata, sekali gus membantu merangka strategi kandungan yang lebih berkesan.

Di NST, katanya sebuah platform analitik ditempatkan di pusat pemantauan berhampiran meja operasi editor dan wartawan bagi membolehkan prestasi setiap laporan dipantau secara langsung.

“Kita kini boleh melihat berita yang sedang mendapat perhatian pembaca, kandungan yang kurang mendapat sambutan serta trend yang sedang berkembang. Maklumat ini membantu editor dan wartawan membuat keputusan dengan lebih pantas serta memahami kehendak audiens.

“Dalam landskap media hari ini, kita bukan sekadar menyampaikan maklumat. Berita juga merupakan produk yang perlu dipasarkan kepada pembaca,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli berkata konsep usahawan kandungan menuntut wartawan melihat berita sebagai aset bernilai yang mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.

Beliau berkata wartawan perlu sentiasa mencari sudut laporan yang dekat dengan rakyat dan memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka, selaras dengan identiti serta DNA organisasi media masing-masing.

“Setiap media mempunyai DNA berbeza. Justeru, kita tidak boleh menghasilkan laporan yang sama seperti media lain. Wartawan perlu memikirkan nilai tambah yang boleh diberikan kepada pembaca.

“Apa yang kita hasilkan mesti dekat dengan rakyat dan mampu memberi manfaat kepada mereka. Itu yang membezakan sesuatu laporan daripada laporan media lain,” katanya.

Bagaimanapun, Zamri berkata usaha melahirkan wartawan yang kreatif dan berfikiran keusahawanan berdepan cabaran besar susulan kewujudan portal berita yang menciplak kandungan media arus perdana demi keuntungan mudah.

Beliau menggambarkan situasi itu sebagai tidak adil dalam ekosistem industri media, apabila organisasi media perlu menanggung kos operasi tinggi untuk menghasilkan kandungan berkualiti, namun hasil kerja itu kemudiannya disalin dan diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Lebih membimbangkan apabila portal yang hanya mempunyai dua atau tiga kakitangan turut mendapat kepercayaan untuk bekerjasama dengan kementerian. Ini pengalaman saya sendiri ketika pertemuan bagi satu projek bersama sebuah kementerian tahun lepas.

“Saya terkejut apabila melihat wakil portal yang didakwa menciplak sehingga 60 berita Sinar Harian sebulan turut menerima iklan daripada kementerian tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata isu kecurian kandungan dan pelanggaran etika kewartawanan perlu diangkat sebagai agenda utama dalam perbincangan HAWANA dan Majlis Media Malaysia (MMM) bagi menjamin kelangsungan industri secara menyeluruh.

Bakal berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang, HAWANA 2026 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA