14/06/2026 01:04 PM

Polis Tahan Lelaki Disyaki Dera Anak Tiri

SEREMBAN, 14 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mendera anak tiri lelakinya yang berusia dua tahun, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada ibu kandung mangsa pada 8.30 malam, sebelum lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah hospital, kira-kira dua jam kemudian.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam sebuah kereta dinaiki mangsa bersama ibunya yang berusia lingkungan 20-an dan bapa tirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu.

“Selain itu, mangsa didapati sering dipukul oleh lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan itu sehingga cedera ketika berada di rumah keluarga terbabit di Jalan Rasah, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa, terdapat kesan lebam kemerahan di bahagian hadapan dan belakang badan dipercayai akibat dicubit dan kanak-kanak itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan. 

Mohd Yatim berkata pasangan terbabit baru mendirikan rumah tangga pada April lepas dan semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan awal air kencing juga negatif.

Beliau berkata lelaki itu direman selama tujuh hari hingga 20 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA