APMM Teruskan Operasi Carilamat Dua Nelayan Hilang Di Perairan Kemaman
CHUKAI, 14 Jun (Bernama) -- Dua nelayan yang hilang apabila bot dinaiki mereka tenggelam pada Rabu lepas akibat ribut di perairan Kemaman, kira-kira 27.9 batu nautika dari pantai, masih gagal ditemukan selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilancarkan.
Pengarah Maritim Zon Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata operasi diteruskan hari ini merangkumi 224.40 batu nautika persegi sekitar perairan Kemaman tanpa menemukan petunjuk baharu.
Beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan bot KM Redang manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter jenis AW139.
"Selain itu, operasi berkenaan turut dibantu tiga bot nelayan tempatan di sekitar lokasi kejadian... seramai 49 anggota APMM dan JBPM serta nelayan tempatan terlibat dalam Carilamat yang memasuki hari keempat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhammad Idham Hafiz, 23, berkata ahli keluarganya masih menaruh harapan agar ayahnya, Nordin Mohammad dan tekong Azan Muda ditemukan dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun, dia berkata mereka sekeluarga reda dengan segala ketentuan takdir dan berserah kepada Allah SWT.
“Jauh di sudut hati, kami masih mengharapkan insan tersayang ditemukan walau dalam apa jua keadaan,” katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Kampung Geliga di sini.
Turut berada di jeti ialah ibunya, Nor Azizan Rani, 45, yang setia menanti perkembangan operasi terbabit.
Insiden pada Rabu lepas menyaksikan sebuah bot nelayan yang dikendalikan Azan, 68, serta dua kru iaitu Nordin, 61, dan Mahadi Jusoh, 51, tenggelam dalam kejadian ribut pada 12.30 tengah malam.
Mahadi bagaimanapun diselamatkan oleh nelayan lain pada 10.30 pagi sehari selepas kejadian.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Tiba Di Kazan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari
- Presiden Timor-Leste Berlepas Pulang, Akhiri Lawatan Khas Lima Hari Ke Malaysia
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia