Kekal Bersatu Untuk Capai Keharmonian Negara - Nga
IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang perlu kekal bersatu dan bekerjasama bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara, ibarat sebuah orkestra yang perlu harmoni untuk menghasilkan irama yang indah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata muzik dengan pelbagai tempo dan rentak menjadi peringatan bahawa kepelbagaian bukanlah kelemahan, sebaliknya satu kekuatan jika dikemudi oleh rasa saling menghormati, persefahaman dan matlamat bersama.
Beliau berkata dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, rakyat perlu sentiasa menghormati dan memahami perbezaan antara satu sama lain, kerana perbalahan sesama sendiri tidak membantu perkembangan kemajuan negara, sebaliknya hanya membawa lebih banyak kemudaratan dan ketidakstabilan.
“Apabila negara menghampiri musim pilihan raya, rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan politik memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya kita perlu mempertahankan semangat kematangan, hormat-menghormati dan perpaduan.
“Seperti pemuzik yang memainkan alat muzik yang berbeza tetapi kekal fokus untuk menghasilkan satu persembahan yang harmoni untuk manfaat semua,” katanya pada majlis perasmian Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan Malaysia dalam indeks keamanan global sebagai antara 12 negara paling aman di dunia, satu pencapaian yang wajar dihargai oleh semua rakyat Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai festival itu, Nga berkata perhimpunan pancaragam belia dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Hong Kong membuktikan bagaimana masyarakat daripada pelbagai budaya dan negara boleh bersatu dalam harmoni walaupun berbeza latar belakang.
Beliau berkata muzik melangkaui batas kaum, agama, bahasa dan kewarganegaraan, menjadikannya bahasa sejagat yang memupuk persahabatan, menyemarakkan harapan dan mengukuhkan hubungan antara komuniti merentasi sempadan.
“Bandar bertaraf dunia tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan ekonomi, sebaliknya muzik, budaya dan seni perlu menjadi komponen penting dalam mewujudkan persekitaran bertaraf dunia seperti itu,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Forensik Bomba Jejak Punca Kebakaran Di Kampung Gok Kapur Melalui Corak Kebakaran
- Warga Emas Rugi RM9 Juta Diperdaya Pelaburan Tidak Wujud Di Kuching
- Lebih 6,000 Anggota, Veteran ATM Dapat Manfaat Program Veteran MyWira
- Rezeki Kali Pertama, Remaja 17 Tahun Menang Motosikal Elektrik Di Fun Walk HAWANA 2026
- APMM Teruskan Operasi Carilamat Dua Nelayan Hilang Di Perairan Kemaman