14/06/2026 01:42 PM

Tatakelola Penting Dalam Pembangunan, Kegiatan Koperasi Dalam Negara - Anwar

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Aspek tatakelola perlu menjadi teras penting dalam pembangunan dan kegiatan koperasi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengurusan yang baik mampu meningkatkan prestasi koperasi, justeru aspek seperti tatakelola dan pengagihan kuasa yang berkesan serta usaha membanteras rasuah tidak boleh dipandang ringan.

“Koperasi dalam negara, kalau diurus dengan baik, prestasinya baik. Sebab itu soal (membanteras) rasuah, pengagihan kuasa bagi kerajaan penting walaupun ramai yang pandang ringan atau enteng. Kadang-kadang kita ada percanggahan dalam dan luar kerajaan mengenai soal ini.

“Kalau tidak dibetulkan, wang yang diperoleh banyak sekalipun, tidak akan memberikan manfaat kepada orang ramai, (tapi) hanya (menguntungkan) kelompok yang sama, yang kecil. Itu sebab tatakelola penting,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kali ke-10, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi KOPROJAYA Saiful Azhar Shaharun serta lebih 1,200 anggota koperasi.

Dalam pada itu, Anwar berkata konsep keadilan dan ihsan perlu difahami dengan betul bagi memastikan ia tidak ditentukan berdasarkan sentimen kaum atau negeri semata-mata, sebaliknya berasaskan keperluan sebenar rakyat.

“Masing-masing nak ikut negeri, kadang ikut kaum. Padahal mesti ikut apa yang diperlukan. Kalau (sesetengah) kaum itu miskin ramai, kita kena beri perhatian. Kalau tengok majoriti kemiskinan negara kita, ia masih Melayu Bumiputera. 

“Daripada kelompok India umpamanya ataupun orang hulu (luar bandar) yang miskin, itu mesti ditangani. Sebab itu kefahaman tentang apa makna keadilan dan ihsan itu sangat penting,” jelas beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada KOPROJAYA atas kejayaan mengamalkan tatakelola baik sehingga mampu mencatatkan prestasi memberangsangkan untuk dicontohi gerakan koperasi lain.

“Ini contoh koperasi diurus dengan baik dan tertib. Saya check (semak), KOPROJAYA antara koperasi yang dipimpin dan diurus dengan tatakelola yang sangat baik dan tahniah saya ucapkan,” kata beliau.

Ditubuhkan secara rasmi pada 21 Jun 2013 di bawah Akta Koperasi 1993, KOPROJAYA telah berkembang menjadi sebuah koperasi berimpak tinggi dengan 2,365 anggota aktif, jumlah aset menjangkau RM17.93 juta dan rangkaian perniagaan merentasi 13 lokasi aktif di seluruh Malaysia. 

-- BERNAMA