KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 769 daripada 2,688 kanak-kanak berusia tiga tahun yang menjalani saringan kesihatan di Kelantan dikenal pasti mempunyai pelbagai isu kesihatan, termasuk kurang berat badan, bantut dan susut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr. Kasuadi Hussin berkata saringan yang dilaksanakan di 10 daerah di negeri ini turut mendapati sebahagian kanak-kanak berkenaan tidak lengkap imunisasi serta tidak menerima penyusuan eksklusif.
Beliau berkata daripada jumlah itu kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan meliputi 9.8 peratus, bantut (10.9 peratus) susut (4.9 peratus), tidak lengkap imunisasi (0.3 peratus) dan tidak menerima penyusuan eksklusif (9.6 peratus).
“Program saringan berkenaan bertujuan mengesan, menyaring dan memetakan status sebenar kes imunisasi tidak lengkap serta masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan.
“Ia bagi membolehkan intervensi klinikal dan komuniti dilaksanakan secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Sambutan Hari Kesihatan Kanak-Kanak Peringkat Negeri Kelantan 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Kasuadi berkata masalah kurang berat badan dalam kalangan kanak-kanak boleh berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pengambilan makanan yang tidak mencukupi, kekurangan kalori dan tabiat pemakanan tidak sihat seperti pengambilan makanan ringan secara berlebihan.
Beliau berkata masalah bantut pula boleh dipengaruhi faktor keturunan, pemakanan dan sosioekonomi keluarga, termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Bagaimanapun, katanya masalah itu boleh ditangani melalui pemantauan tumbesaran dan pengambilan makanan seimbang mengikut keperluan kanak-kanak.
“Sebab itu, ibu bapa digalakkan membawa anak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membolehkan sebarang masalah kesihatan dikesan dan intervensi yang bersesuaian dapat diberikan.” katanya.
“Pemeriksaan berkenaan perlu diteruskan sehingga kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun, sebelum memasuki alam persekolahan di klinik kesihatan berhampiran. Lebih awal kita kesan, lebih cepat tindakan boleh diambil,” katanya
-- BERNAMA