Am 18/10/2026 06:38 PM

Ketua Jabatan Perlu Manfaat HBH, Sesuaikan Dengan Keadaan Jerebu - KPPA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ketua Jabatan Perlu Manfaat HBH, Sesuaikan Dengan Keadaan Jerebu - KPPA
fb Jabatan Perkhidmatan Awam

KUALA TERENGGANU, 18 Okt (Bernama) -- Ketua jabatan dalam sektor perkhidmatan awam boleh memanfaatkan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) untuk disesuaikan dengan keadaan jerebu di negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketua jabatan boleh menggunakan kaedah sesuai melalui HBH bagi memastikan hasil kerja atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap penjawat awam dipenuhi.

"Jadual kerja hibrid ini telah kita laksanakan dan dalam konteks jerebu ini, sebenarnya kebetulan masalah itu berlaku.”

"Jadi, terpulang kepada ketua-ketua jabatan untuk menggunakan keadaan ini sebenarnya. Kita boleh gunakan (HBH). Tetapi yang paling penting KPI perlu ditetapkan untuk memastikan output tetap ada walaupun bekerja secara hibrid dalam keadaan jerebu ini," katanya selepas Program Santuni Pesara di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.

Pada program itu, Wan Ahmad Dahlan meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan asas kepada tiga keluarga pesara kerajaan, iaitu Soh Kim Seah, 90, Rosnani Abdullah, 73, dan Mohd Saadum Che Embong, 69.

Dalam pada itu, beliau berkata pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 kepada lebih satu juta pesara kerajaan menerusi Belanjawan 2027 membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap jasa golongan itu.

Beliau berkata sumbangan golongan pesara kepada pembangunan negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka amat besar nilainya dan tidak wajar dilupakan.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan pesara yang pernah berjasa kepada negara. Program Santuni Pesara juga antara usaha yang dilaksanakan bagi menghargai jasa mereka,” katanya.

-- BERNAMA