TAWAU, 18 Okt (Bernama) -- Mangsa kebakaran di Batu 2, Jalan Apas di sini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan khas yang diberikan bagi membantu meringankan beban mereka.
Mohd Azmi Mohd Asri, 24, berkata sumbangan berkenaan amat dihargai sebagai tanda keprihatinan pemimpin negara atas musibah yang menimpa penduduk kampung itu.
Mohd Azmi yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata beliau sedang bertugas ketika kejadian sebelum dimaklumkan rakannya mengenai kebakaran berkenaan dan sebaik tiba, api sedang marak dari arah rumah jiran yang terletak di belakang kediamannya.
“Saya sempat menyelamatkan barangan seperti peti sejuk, beberapa helai baju dan dokumen diri. Ibu bapa saya ketika itu sudah keluar dari rumah.
“Saya bersyukur semua selamat, harapan saya ada bantuan daripada kerajaan untuk membaik pulih rumah yang terbakar ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan khas Perdana Menteri yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tawau hari ini.
Penduduk kampung, Abdul Japar Judin, 56, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang dihulurkan, selain turut menerima bantuan pertubuhan bukan kerajaan ketika kejadian.
Abdul Japar yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan St Patrick berkata beliau tidak menyangka rumahnya turut musnah terbakar dalam kejadian 9.31 malam itu, namun bersyukur sempat menyelamatkan ahli keluarganya.
Katanya, berikutan kejadian itu, penduduk perlu diberi pendedahan berterusan mengenai langkah pemadaman awal yang boleh mengelakkan kebakaran daripada merebak berikutan jarak antara sebuah rumah dengan rumah yang lain di kampung itu dianggarkan hanya satu meter.
Terdahulu, Mustapha menyampaikan sumbangan kepada 69 ketua keluarga yang terlibat dalam kebakaran berkenaan dan menzahirkan simpati kepada mangsa kebakaran serta berharap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban mangsa terlibat.
Beliau berkata sumbangan lain akan menyusul antaranya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta kerajaan negeri, selain turut mengingatkan orang ramai agar lebih peka dalam mengurus kediaman masing-masing terutama bahagian dapur dan peralatan elektrik bagi mengurangkan risiko kebakaran terutama semasa cuaca panas.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin misalnya dalam Belanjawan 2027, peruntukan untuk NADMA meningkat kepada RM260 juta termasuk bantuan pembaikan rumah bagi mangsa bencana seperti kebakaran daripada RM5,000 kepada RM10,000," katanya.
Dalam kejadian itu, sebanyak 15 buah rumah musnah terbakar melibatkan 267 mangsa daripada 69 keluarga.
-- BERNAMA