MELAKA, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka bakal menyalurkan insentif khas kepada atlet negeri itu yang meraih pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 serta Sukan SEA Thailand 2025.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata majlis penyerahan insentif itu dijadualkan berlangsung pada 27 Okt ini bagi meraikan mereka yang telah mengharumkan nama Melaka.
“Pemberian imbuhan ini bukan sahaja melibatkan atlet, malah jurulatih. Sebelum ini, terdapat sedikit masalah sehingga menyebabkan kelewatan dalam penyaluran insentif berkenaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Melaka 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Melaka (KOMBES), Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Shanmugam berkata kontinjen Melaka pada SUKMA Selangor 2026 berjaya melepasi sasaran 20 pingat emas ditetapkan.
“Tahun ini kita berjaya meraih 50 pingat keseluruhan iaitu 21 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa manakala kontinjen Para SUKMA Melaka meraih empat pingat emas, 12 perak dan 18 gangsa,” katanya.
Beliau berkata 27 atlet kelahiran Melaka yang mewakili negara pada Sukan SEA di Thailand pula menyumbang 10 pingat emas, enam perak dan 11 gangsa manakala tujuh atlet para yang beraksi Sukan Para ASEAN pula meraih tiga pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan HSN peringkat negeri tahun ini menghimpunkan lebih 3,000 peserta menerusi lebih 30 aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk sukan tradisional, e-sukan serta aktiviti inklusif untuk orang kurang upaya (OKU).
"Sepatutnya sambutan HSN ini berlangsung pada minggu kedua Oktober, namun kita tunda ke hari ini disebabkan masalah jerebu demi keselamatan dan kesihatan peserta.
“Penganjuran tetap berjalan lancar hari ini dengan pematuhan prosedur kawalan berikutan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang masih kurang memuaskan," katanya.
Shanmugam berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi penganjuran program sambutan HSN peringkat negeri.
-- BERNAMA