KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- DPMM FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuching City FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Dalberto Luan Belo pada minit keenam sebelum Dylan Wenzel-Halls menyamakan jaringan buat Kuching City menerusi sepakan percuma pada minit ke-28 dan kedudukan terikat 1-1 hingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, Wenzel Halls sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-48 untuk meletakkan pelawat di hadapan 2-1.
Pasukan pelawat bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Petrus Shitembi dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-61.
Kelebihan itu dimanfaatkan DPMM apabila berjaya menyamakan menerusi Azwan Ali Rahman pada minit ke-64 sebelum Dalberto menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian untuk menghadiahkan tuan rumah kemenangan 3-2.
Sementara itu, di Terengganu, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas membenam Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
JDT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-26, menerusi penyerang Bergson Da Silva sebelum pemain import kelahiran Sepanyol Oscar Aribas menggandakan jaringan pada minit ke-43 untuk skuad Harimau Selatan mendahului 2-0.
Pada minit ke-64, Skuad Penyu berpeluang merapatkan kedudukan apabila pengadil Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti selepas Mendez menjatuhkan Gervane Kastaneer namun ia disia-siakan Mateusinho yang gagal menyempurnakan sepakan.
Dua minit sebelum perlawanan berakhir, pemain gantian Zaheditabar Shahab menjaringkan gol ketiga untuk JDT mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.
-- BERNAMA