Am 18/10/2026 03:16 PM

APMM Perak Tahan Vesel Tangki Minyak Bersauh Tanpa Kebenaran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APMM Perak Tahan Vesel Tangki Minyak Bersauh Tanpa Kebenaran
Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) menahan sebuah vesel tangki minyak kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 5.9 batu nautika dari Pulau Pangkor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata vesel itu dikesan pada 1.26 tengah hari oleh anggota APMM yang melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.

"Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima warga Myanmar berusia antara 34 hingga 59 tahun termasuk nakhoda.

"Vesel itu disyaki bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan gagal mengemukakan polisi insurans berkaitan Limitation of Liability for Maritime Claims (LLMC) seperti yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dokumen berkaitan kapal turut disita manakala nakhoda dan ketua jurutera vesel itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

-- BERNAMA