JOHOR BAHRU, 18 Okt (Bernama) -- Penganjuran Kejohanan Catur Piala TNC 2026 membuktikan kepentingan mengimbangi penggunaan teknologi dengan interaksi fizikal dalam pembangunan golongan muda serta memupuk minat terhadap sukan minda.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata walaupun teknologi Internet memudahkan golongan muda untuk belajar, berlatih dan menyertai pertandingan catur di peringkat antarabangsa secara dalam talian, pertandingan yang diadakan secara bersemuka kekal signifikan.
"Suasana pertandingan fizikal di dunia nyata terbukti jauh lebih menyeronokkan, meriah, dan berupaya mencetuskan keterujaan sosial yang tidak dapat digantikan oleh platform dalam talian," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kejohanan berkenaan di IOI Mall Kulai, di sini hari ini.
Sebagai sokongan terhadap pembangunan bakat muda dan sukan minda di peringkat akar umbi, Teo turut mengumumkan peruntukan RM10,000 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kulai kepada pihak penganjur bagi menyokong pelaksanaan kejohanan berkenaan.
Sementara itu, mengenai ancaman siber, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai meluahkan kebimbangan terhadap laporan media berhubung penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar sekolah menengah untuk menghasilkan kandungan tidak senonoh.
"Laporan media baru-baru ini amat membimbangkan, sekali gus mengetengahkan ancaman siber yang dibawa oleh penggunaan teknologi yang tidak wajar.
"Walau bagaimanapun, Internet juga mempunyai sisi positif yang amat besar. Teknologi, seperti mana-mana alat yang lain, mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri, kunci utamanya adalah bagaimana kita mampu mengurangkan kesan negatif sambil memaksimumkan manfaat yang boleh diraih," katanya.
Mengenai kejohanan berprestij selama dua hari anjuran Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERTISAS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama CYS Chess Enterprise itu, menghimpunkan 368 peserta dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Bangladesh, Singapore, Australia dan Malaysia.
-- BERNAMA