Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 18 Okt (Bernama) -- Pengendali pengangkutan tradisional di Kemboja, daripada penunggang "motodop" hingga pemandu "remorque", semakin kehilangan pelanggan kepada aplikasi e-hailing, sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.
Selama beberapa dekad, motodop (teksi motosikal) dan remorque (kereta penumpang yang ditunda oleh motosikal) yang menjadi ikon pengangkutan di Kemboja telah membawa penumpang ke pasar, pejabat, sekolah dan kediaman, sambil mencelah-celah dalam kesesakan lalu lintas di ibu negara tanpa mengira waktu.
Bagaimanapun, kemunculan kenderaan moden berasaskan teknologi seperti “tuk-tuk” elektrik (beca bermotor) serta platform e-hailing yang disokong syarikat bermodal besar sedang mengubah sistem pengangkutan bandar di Kemboja.
"Mereka telah meninggalkan pekerjaan itu. Mereka tidak mampu bersaing dengan sistem pengangkutan moden yang berasaskan teknologi. Mencari rezeki kini menjadi semakin sukar bagi golongan ini," kata Presiden Independent Democracy of Informal Economy Association Vorn Pov kepada Bernama.
"Ramai daripada mereka merupakan generasi lebih tua yang tidak tahu membaca atau menggunakan aplikasi manakala ada juga yang tidak mahu berubah. Mereka meninggalkan pekerjaan itu dan beralih kepada pekerjaan am lain yang tidak berkaitan."
Teksi motosikal popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara berikutan permintaan terhadap perjalanan jarak dekat serta keperluan mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Di Filipina, pengangkutan itu dikenali sebagai "habal-habal", "motosai" di Thailand dan "ojek" di Indonesia.
Teksi motosikal dan remorque telah memainkan peranan penting dalam kehidupan kira-kira tiga juta penduduk Phnom Penh, dengan membawa penumpang merentasi ibu negara itu pada pelbagai waktu dan terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan tetap di kawasan kejiranan masing-masing.
Tanpa jaringan keselamatan sosial untuk dijadikan sandaran, ramai pemandu berusia bergantung pada ingatan untuk membawa pelanggan ke destinasi yang sudah sebati dalam ingatan mereka, hari demi hari.
Kini, jenama seperti Grab, Tada dan PassApp yang bijak memanfaatkan sumber serta disokong oleh teknologi e-hailing moden dan tenaga kerja telah secara beransur-ansur menggantikan penyedia perkhidmatan pengangkutan tradisional.
Penggunaan data raya, automasi dipacu kecerdasan buatan (AI), tempahan dan pembayaran melalui telefon mudah alih, akses Internet lebih pantas serta kemunculan generasi baharu pengguna pengangkutan yang celik teknologi sedang mengubah cara penduduk bergerak di bandar-bandar Kemboja.
Penyedia perkhidmatan pengangkutan tradisional yang bekerja secara bebas semakin sukar bersaing dengan syarikat yang menawarkan pelbagai insentif, pengiklanan meluas dan perkhidmatan yang mudah diakses pada kadar tambang berpatutan.
"Saya menunggu hampir tiga jam pada waktu pagi hanya untuk memperoleh 5,000 riel (US$1.25 atau RM5) bagi menghantar seorang pelanggan. Kini, amat sukar untuk saya meneruskan kehidupan.
"Saya tidak lagi mampu mencari rezeki di Phnom Penh. Semua pelanggan saya kini lebih gemar menggunakan aplikasi e-hailing. Terlalu ramai pemandu dan syarikat-syarikat ini menawarkan tambang lebih murah," kata Chea Vorsak, pekerja migran dari luar bandar yang berasal dari wilayah Kampot, kepada Bernama.
Chea, 30, telah bekerja sebagai penunggang teksi motosikal selama lebih tujuh tahun, dengan waktu kerja yang tidak tetap bagi menyara kedua-dua ibu bapanya yang semakin berusia dan bekerja sebagai petani.
Secara purata, penunggang teksi motosikal sebelum ini mampu memperoleh kira-kira US$17 sehari (RM69) sebelum pandemik COVID-19 bermula pada 2020, namun kini mereka sukar meraih pendapatan sebanyak US$7 (RM29) sehari.
Menurut persatuan itu, kira-kira 20,000 pemandu tuk-tuk beroperasi di ibu negara, dengan ramai daripada mereka bernaung di bawah pengendali e-hailing yang sudah bertapak kukuh.
-- BERNAMA