Am 18/10/2026 02:24 PM

Pengupacaraan Perkahwinan Sivil Bukan Pengambilalihan Peranan Pemimpin Agama - JPN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengupacaraan Perkahwinan Sivil Bukan Pengambilalihan Peranan Pemimpin Agama - JPN

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan atau dianggap sebagai pengambilalihan peranan pemimpin agama.

Dalam kenyataan hari ini ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan fungsi tersebut merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan menurut undang-undang negara.

"Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain manakala pelaksanaan ritual keagamaan merupakan urusan penganut dan pemimpin agama berkenaan.

"Dari sudut undang-undang negara pula, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta 164 hendaklah dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah," menurut kenyataan itu.

Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.

Perkahwinan berkenaan boleh dilaksanakan di pejabat JPN atau di rumah ibadat dan persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat dan prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.

JPN memaklumkan kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.

Pada masa sama, pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara.

JPN turut mengingatkan masyarakat supaya memahami fakta dan peruntukan undang-undang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

"Semua perlu menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat," menurut kenyataan itu.

Justeru, jabatan itu menyatakan komitmen akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini.

-- BERNAMA