Am 18/10/2026 01:12 PM

SKM Garis Tiga Peringkat Pembudayaan Integriti Dalam Koperasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SKM Garis Tiga Peringkat Pembudayaan Integriti Dalam Koperasi
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggariskan tiga peringkat utama pembudayaan integriti dalam organisasi koperasi bagi memastikan kestabilan dan daya saing sektor itu di negara ini.

Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata pembudayaan integriti pada peringkat pengurusan, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan anggota koperasi adalah tonggak penting dalam menguruskan lebih 16,300 koperasi di Malaysia ketika ini.

Beliau berkata peringkat pertama melibatkan pihak pengurusan yang perlu mempamerkan integriti tertinggi dalam urusan harian memandangkan mereka memikul mandat serta amanah yang diberikan oleh anggota koperasi.

Peringkat kedua pula membabitkan ALK yang bertanggungjawab menentukan hala tuju strategik koperasi masing-masing.

“ALK perlu mempunyai integriti yang tinggi kerana mereka menentukan hala tuju strategik koperasi. Jika integriti terjejas dan keputusan dibuat berdasarkan andaian yang mungkin tidak sesuai dari segi perniagaan, maka keputusan itu boleh dipertikaikan dari sudut integriti,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Golf Tee 2 Green 2026 Piala Pengerusi SKM di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata peringkat ketiga menuntut integriti dalam kalangan anggota koperasi menerusi sokongan terhadap perniagaan koperasi serta penggunaan saluran dalaman yang betul untuk menyelesaikan sebarang masalah.

“Integriti juga bermaksud menyokong koperasi itu sendiri, bukannya memburuk-burukkannya. Jika terdapat masalah, maklumkan terus kepada pihak pengurusan atau ALK,” katanya.

Kejohanan anjuran Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan dengan kerjasama SKM dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) itu menghimpunkan 120 peserta daripada 27 gabungan koperasi dan agensi dari seluruh negara.

Program berkenaan bertujuan menyediakan platform perangkaian strategik, memperkukuh kerjasama antara koperasi serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pimpinan gerakan koperasi.

Ahmad Norihan ketika mengulas mengenai aspek kawal selia berkata SKM memikul dua tanggungjawab utama yang perlu diseimbangkan, iaitu memastikan tadbir urus dan integriti serta menggalakkan perkembangan gerakan koperasi.

Beliau berkata SKM memandang serius sebarang isu berkaitan integriti dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) atau Akta Koperasi 1993 (Akta 502) sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Menurut Ahmad Norihan, kes yang melibatkan salah laku di luar bidang kuasa SKM boleh dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA