Am 18/10/2026 01:19 PM

Pasar Geowarisan Se-Jati Berpotensi Jadi Ikon Ekonomi Komuniti Dan Pelancongan Unik Di Perlis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasar Geowarisan Se-Jati Berpotensi Jadi Ikon Ekonomi Komuniti Dan Pelancongan Unik Di Perlis

PADANG BESAR, 18 Okt (Bernama) -- Penganjuran program Pasar Geowarisan Se-Jati berpotensi menjadi ikon ekonomi komuniti dan pelancongan yang mempunyai identiti unik di Perlis.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata program itu menunjukkan perkembangan sangat memberangsangkan apabila berjaya menjana jualan sekitar RM61,000 menerusi 50 gerai pada 2025, sekali gus menyasarkan nilai jualan melebihi RM100,000 sepanjang tiga hari penganjuran pada tahun ini.

Beliau berkata sasaran itu bukan sekadar angka di atas kertas tetapi mencerminkan hasrat memperluaskan pasaran dan menarik lebih ramai pengunjung serta membuka peluang perniagaan kepada komuniti tempatan.

“Jika kita mampu mempertahankan momentum ini secara konsisten, saya percaya Pasar Geowarisan Se-Jati bakal menjadi ikon ekonomi komuniti dan pelancongan yang mempunyai identiti unik di Perlis,” katanya ketika berucap merasmikan Pasar Geowarisan Se-Jati 2.0 di Teak Eco Park, Stesen Penyelidikan FRIM Perlis di sini malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Ismail Parlan.

Pasar Geowarisan Se-Jati 2.0 yang berlangsung dari 16 Okt hingga hari ini menghimpunkan lima geopark dalam Jaringan Utara, iaitu Perlis Geopark, Langkawi UNESCO Global Geopark, Jerai Geopark, Lenggong UNESCO Global Geopark dan Satun UNESCO Global Geopark di Thailand, selain menampilkan jualan produk tempatan, kraf jati dan hasil usahawan, persembahan seni dan budaya serta aktiviti rekreasi bagi mengetengahkan potensi geowarisan dan ekopelancongan di wilayah utara.

Sementara itu, Abu Bakar berkata kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya terdapat 15 pengusaha aktif kraf jati Perlis dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang berbanding sekitar lima pengusaha berkenaan pada masa ini.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai pengusaha, khususnya dalam kalangan anak muda. Mereka tidak perlu bermula dengan kilang yang besar, cukuplah dengan kemahiran, idea dan bengkel kecil. Dengan bimbingan, teknologi, pembiayaan serta akses pasaran yang betul, perniagaan kecil ini mampu berkembang maju,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah kerajaan negeri memohon Petunjuk Geografi (GI) bagi kraf jati Perlis adalah strategi penting untuk melindungi identiti dan meningkatkan nilai reputasi produk tempatan negeri itu.

“Dokumen permohonan telah pun dikemukakan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan kini sedang dinilai. Namun, pengiktirafan GI ini mestilah diterjemahkan kepada peningkatan jualan dan keyakinan pengguna.

“Usaha ini juga perlu bergerak seiring dengan pembangunan reputasi jenama Royal Perlis Jati Craft. Kita mahu mana-mana pelancong yang berkunjung ke Perlis tidak sekadar membawa pulang cenderamata fizikal, tetapi membawa pulang ‘cerita’ tentang Perlis, sebuah produk bertaraf tinggi yang sarat dengan nilai warisan,” katanya.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama strategik antara Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan FRIM yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada 7 Okt 2024.

Sehubungan dengan itu, Abu Bakar berkata fokus selepas ini adalah memastikan kerjasama itu membuahkan hasil yang nyata, iaitu penyelidikan diterjemahkan kepada teknologi, teknologi diterjemahkan kepada produk, produk diterjemahkan kepada perniagaan dan perniagaan akhirnya menterjemahkan pendapatan kepada rakyat.

“Saya berharap FRIM terus menyumbang dari segi kepakaran penyelidikan, inovasi dan bahan tanaman manakala Jabatan Perhutanan Negeri Perlis memperkasakan pengurusan sumber perladangan jati secara mampan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata FRIM komited memperkukuh sokongan penyelidikan dan teknologi bagi membangunkan industri kraf jati Perlis sebagai produk warisan bernilai tinggi yang mampu menjana ekonomi usahawan tempatan.

Ketua Pengarah FRIM itu berkata hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada produk, inovasi dan perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Sebagai sebuah institusi penyelidikan, FRIM berpegang teguh pada prinsip bahawa dapatan sains tidak boleh terkurung di dalam makmal atau helaian jurnal semata-mata. Sebaliknya, hasil penyelidikan mesti diterjemahkan kepada inovasi, perkhidmatan dan produk yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media FRIM, sebanyak 500 anak benih pokok jati yang disumbangkan oleh Syarikat Nam Agrosustain Sdn Bhd akan ditanam di Teak Eco Park bagi menjamin kelangsungan ekosistem untuk generasi akan datang melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Adopt a Jati”.

-- BERNAMA