SEREMBAN, 18 Okt (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) menunjukkan petanda positif dari segi peningkatan prestasi dan mentaliti kemenangan meskipun terikat 1-1 dengan Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Ketua jurulatih NSFC Daniel Gimenez Alcaniz berkata peningkatan itu jelas dilihat menerusi kesungguhan pemain untuk bersaing dan berjuang bagi meraih kemenangan, berbeza dengan beberapa perlawanan terdahulu yang tidak mencapai tahap prestasi seperti yang diharapkan.
Beliau berkata pasukan itu pada awalnya menghadapi kesukaran untuk memahami pendekatan taktikal baharu manakala sikap pemain juga perlu diperbaiki.
“Pada awal liga, saya percaya kami masih kekurangan dalam banyak aspek, khususnya dari segi pemahaman taktikal. Bukan mudah untuk melaksanakan idea baharu apabila terdapat jurulatih baharu yang menggunakan pendekatan berbeza.
“Namun, hari ini saya melihat sebuah pasukan yang bersedia untuk bersaing dan berjuang. Mereka benar-benar mahu menang. Bagi saya, mentaliti pemenang ialah asas dalam permainan bola sepak. Jika tidak, kami tidak boleh bermain bola sepak,” katanya selepas perlawanan itu.
Keputusan itu meletakkan NSFC di tangga kesembilan carta liga dengan lima mata manakala Sabah FC menduduki tempat keempat dengan tujuh mata.
Gimenez berkata NSFC turut menunjukkan keupayaan mengawal permainan dengan mencatatkan penguasaan bola sebanyak 60 peratus dan melakukan 14 percubaan, berbanding hanya satu percubaan oleh Sabah FC.
Beliau bagaimanapun mengakui kegagalan pasukan itu menyempurnakan peluang yang terhasil menjadi gol menyebabkan mereka terlepas peluang untuk meraih tiga mata penuh.
“Kami bermain bola sepak untuk menang. Saya tahu kami tidak boleh menang setiap masa tetapi sasaran kami dan apa yang telah kami usahakan dalam latihan sepanjang lima minggu lepas adalah untuk memperoleh tiga mata. Keputusan ini mengecewakan, namun pada masa sama, satu mata lebih baik daripada tiada mata langsung,” katanya.
Gimenez berkata NSFC akan terus menyasarkan tiga mata penuh dalam setiap perlawanan, termasuk aksi seterusnya menentang Brunei DPMM, yang diakuinya kini berada dalam prestasi yang baik.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus berkata pasukan itu berpuas hati dengan keputusan seri berkenaan meskipun mengharapkan kejayaan yang lebih baik selepas berdepan beberapa cabaran sepanjang perlawanan.
Beliau berkata keadaan padang dan pencahayaan stadium, khususnya apabila keadaan semakin gelap menjelang minit ke-75, selain kecederaan pemain serta tempoh pemulihan yang singkat selepas kempen Piala FA, menjadi cabaran kepada pasukan itu.
“Secara keseluruhan, kami tidak bermain sebaik perlawanan-perlawanan terdahulu. Bagaimanapun, pemain wajar diberikan pujian atas semangat juang mereka. Walaupun prestasi kami kurang memuaskan, mereka bertahan dengan agak baik hari ini dan berjaya memperoleh keputusan yang positif,” katanya.
-- BERNAMA